BINTULU: Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Bintulu menahan seorang lelaki tempatan berusia 21 tahun, atas kesalahan memiliki dadah jenis erimin seberat 27.64 gram dan pil khayal seberat 50.23 gram.
Dadah dianggarkan bernilai RM8,680 itu ditemui dalam serbuan di Pusat Komersil Medan Jaya sekitar jam 10.10 malam Jumaat lalu.
Ketua Polis Daerah Bintulu Superintenden Zailanni Amit berkata dalam serbuan itu polis menahan sebuah kereta dan pemeriksaan awal mendapati beg digunakan suspek mengandungi kedua-dua dadah jenis berbahaya itu.
“Turut ditemui wang tunai RM2,000, dua kad bank dan sebuah telefon bimbit dipercayai digunakan suspek menjalankan kegiatan pengedaran dadah,” katanya.
Beliau berkata polis turut menyita kereta yang digunakan suspek dan kes ini disiasat di bawah Akta Dadah Berbahaya (Perlucutan Harta) 1988.
Jelasnya, siasatan awal mendapati suspek mengaku terlibat dalam kes pengedaran dadah terbabit di sekitar Bintulu sejak awal tahun lalu.
“Suspek turut mengaku bekalan dadah diperolehi daripada pengedar dadah di Sibu dan dibawa ke Bintulu melalui saluran tertentu sebelum dipasarkan di sini,” jelasnya.
Zailanni berkata siasatan lanjut serta risikan dilakukan pihaknya bagi mengetahui serta memberkas pihak yang turut terlibat dalam kes pengedaran dadah itu.
Beliau turut menasihati orang awam agar tampil memberi maklumat atau ke balai polis berdekatan sekiranya mengetahui sebarang kegiatan pengedaran dadah.-UB
JSJN Bintulu Cekup Lelaki Edar Dadah
Reviewed by Unknown
on
January 30, 2017
Rating:
No comments: