Seo Services

Calon BN Bagi PRK Tanjong Datu Dijangka Diumum Pada 1 Februari


KUCHING: Calon Barisan Nasional (BN) bagi Pilihan Raya Kecil (PRK) N.3 Tanjong Datu dijangka akan diumumkan pada 1 Februari, tiga hari sebelum hari penamaan calon.

Perkara ini dinyatakan Setiausaha Agung Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB) Dato Sri Dr Stephen Rundi Utom ketika ditemui pada Majlis Rumah Terbuka anjuran Parti Rakyat Bersatu Sarawak (SUPP) di ibu pejabat parti di sini kelmarin (Sabtu).

Menurut Rundi yang juga setiausaha agung BN Negeri, empat calon berpotensi telah disenarai pendek setakat ini dan pengumuman akan dibuat sendiri oleh Ketua Menteri Datuk Amar Abang Johari Tun Abang Openg yang juga pengerusi BN Negeri dan presiden PBB.

“Buat masa ini kita masih lagi dalam proses mendapatkan maklum balas daripada rakyat Tanjong Datu, siapa calon yang paling sesuai untuk bertanding di kerusi yang dikosongkan oleh Allahyarham Datuk Patinggi Tan Sri Adenan Satem ini.

“Kami mahu mendapatkan laporan penuh daripada rakyat di peringkat akar umbi sebelum membuat keputusan dan mengumumkan nama calon yang akan bertanding pada PRK itu nanti,” katanya.

Rundi yang juga Menteri Kemudahan Awam juga memberitahu bahawa calon yang bakal dipilih itu nanti berkemungkinan bukan balu kepada Allahyarham Adenan iaitu Datin Patinggi Datuk Amar Jamilah Anu mahupun salah seorang daripada dua anak lelakinya iaitu Abdul Aziz dan Azizul Annuar.

“Calon itu nanti adalah bergantung kepada maklum balas rakyat di peringkat akar umbi dan parti mungkin memilih individu lain,” ujarnya.

Sementara itu Abang Johari ketika ditemui berkata BN dan PBB tidak mahu terburu-buru dalam memutuskan calon yang akan bertanding dan meminta semua pihak bersabar dahulu sehingga pengumuman rasmi dibuat.

Pada masa yang sama, beliau turut menghargai keputusan Parti Keadilan Rakyat (PKR) Sarawak untuk tidak bertanding di kerusi itu pada PRK itu nanti.

Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) mengumumkan hari penamaan calon bagi PRK Tanjong Datu adalah pada 4 Februari diikuti undi awal pada 12 Februari dan hari pengundian pada 18 Februari.

Kerusi Tanjong Datu merupakan kubu kuat BN dan dimenangi semula oleh BN pada Pilihan Raya Negeri Ke-11(PRN11) pada 2016 menerusi Allahyarham Adenan dengan majoriti 5,892 undi menewaskan calon PKR Jazolkipli Numan.-UB
Calon BN Bagi PRK Tanjong Datu Dijangka Diumum Pada 1 Februari Calon BN Bagi PRK Tanjong Datu Dijangka Diumum Pada 1 Februari Reviewed by Unknown on January 30, 2017 Rating: 5

No comments:

ads 728x90 B
Powered by Blogger.