KUCHING: Anak sulung Allahyarham Ketua Menteri Datuk Patinggi Tan Sri Adenan Satem, Abdul Aziz Adenan, 44, berkata pemergian ayahandanya adalah kehilangan yang sangat besar bukan sahaja kepada keluarganya tetapi juga keseluruhan rakyat Sarawak.
“Sejak menjadi Ketua Menteri, keluarga beliau adalah Sarawak… beliau menganggap diri sebagai bapa Sarawak dan mengambil semua rakyat Sarawak sebagai anak.
“Sebab itu, kami berasakan pemergiannya adalah satu kehilangan yang sangat besar,” katanya ketika ditemui di Tanah Perkuburan Islam Samariang semalam.
Sementara itu, anak bongsu Allahyarham, Azizul Annuar Adenan ketika ditemui pemberita di kediaman ayahandanya di Damai Jaya Santubong, dekat sini semalam sebelum berangkat ke Masjid Jamek Negeri berkata, beliau hanya mengetahui berita kematian ayahnya selepas dimaklumkan oleh kakaknya menerusi panggilan telefon.
“Kakak menelefon saya dan memberitahu daddy (Adenan) sudah meninggal dunia dan ketika itu kakak dalam perjalanan menuju ke Pusat Jantung Hospital Umum Sarawak (PJHUS) Kota Samarahan.
“Saya teringat, beliau ada memberitahu, beliau akan balik dan beliau mesti cergas bagi menghadapi Pilihan Raya Umum (PRU),” katanya dalam nada sebak.
Katanya, amanat terakhir Allahyarham kepadanya sebelum menghembuskan nafas terakhir pada Rabu lalu: “Azizul, apa-apa yang awak buat, awak kena lakukan dengan terbaik, sama ada awak Ketua Menteri Sarawak, ada pangkat, ataupun awak kutip sampah, cuci sapu sampah, awak kena lakukan terbaik.”
Tambah Azizul, beliau berharap rakyat Sarawak akan terus mengingati legasi yang telah dibina oleh Adenan sepanjang beliau menjadi Ketua Menteri Sarawak sampai bila-bila.
Allahyarham, 72, meninggalkan seorang balu, Datin Patinggi Datuk Amar Jamilah Anu dan lima anak.
Allahyarham meninggal dunia kira-kira jam 1.24 petang Rabu lalu akibat komplikasi jantung di PJHUS Kota Samarahan, iaitu 16 hari sebelum hari lahirnya ke-73 tahun.
Beliau menjadi Ketua Menteri kelima selepas mengambil alih jawatan itu daripada Tun Pehin Sri Abdul Taib Mahmud pada 28 Februari 2014.-UB
‘Keluarga Beliau Adalah Sarawak’
Reviewed by Unknown
on
January 13, 2017
Rating:
Reviewed by Unknown
on
January 13, 2017
Rating:

Mohon admin perbetulkan kesilapan di mana anak sulung Allahyarham Ketua Menteri Datuk Patinggi Tan Sri Adenan Satem adalah Siti Rafidah dan bukannya Abdul Aziz. Beliau (Abdul Aziz) merupakan anak lelaki sulung, dan bukannya anak sulung.
ReplyDeleteSiti Rafidah Adenan (16th May 1966)
Hayati Hamidah Adenan (19th April 1970)
Abdul Aziz Adenan (31st May 1972)
Aziza Jasmi Adenan (15th December 1983)
Azizul Annuar Adenan (4th August 1991)
Terima kasih admin.