Seo Services

Richard Riot Selar Pihak Hina, Persenda Tok Nan

DALAM KENANGAN: Upacara memperingati Allahyarham Adenan, ‘Light A Candle Program’ dihadiri ratusan masyarakat berbilang kaum di Serian malam kelmarin.
SERIAN: Menteri Sumber Manusia Datuk Seri Richard Riot Jaem menyelar segelintir pengguna media sosial Facebook yang menghina dan mempersenda kematian Datuk Patinggi Tan Sri Adenan Satem.

Katanya tindakan undang-undang wajar diambil kepada individu tidak bertanggungjawab itu atas ketidakwarasan yang dilakukan.

“Tindakan mereka menghina dan mempersendakan Tok Nan (Allahyarham Adenan) mempamer sikap tidak menghormati pemimpin yang disegani dan disayangi rakyat jelata di negeri ini.

“Justeru, saya amat setuju sekali jika mereka ini diambil tindakan undang-undang yang tegas,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita pada upacara memperingati Allahyarham Adenan, ‘Light A Candle Program’ yang diadakan di Taman Komuniti Serian di sini, malam kelmarin.

Turut hadir ialah Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bukit Semuja John Ilus, Setiausaha Politik Kementerian Sumber Manusia Mejar (B) Peter Runin, Residen Serian Dahim Nadot dan Presiden Persatuan Pemuzik dan Artis Bidayuh (BAMA) Dr Alim Impera.

Selain itu, Ahli Parlimen Serian itu berkata, masyarakat tempatan Serian khasnya pasti tidak akan melupakan Allahyarham Adenan atas jasanya menaik taraf Serian daripada daerah kepada bahagian pada April 2015.

Katanya jika Allahyarham tidak menjadi Ketua Menteri, penaiktarafan itu mungkin tidak akan berlaku dan Serian masih memegang status daerah ketika ini.

“Dengan menjadikan Serian berstatus bahagian, Allahyarham Adenan telah meninggalkan legasi yang akan hidup selamanya.

“Penaiktarafan status itu juga telah memberikan penduduk Serian, terutama yang berbangsa Bidayuh sesuatu yang membolehkan beliau diingati sampai ke generasi akan datang,” katanya.

Mengenai upacara anjuran BAMA tersebut, Riot berkesempatan mendeklamasikan sajak khas untuk Allahyarham Adenan.

Ia dihadiri ratusan masyarakat Serian daripada pelbagai kaum termasuk Cina, Bidayuh, Iban, Melayu dan kawasan sekitar yang datang untuk berdoa dan menyalakan lilin untuk Allahyarham. - UB
Richard Riot Selar Pihak Hina, Persenda Tok Nan Richard Riot Selar Pihak Hina, Persenda Tok Nan Reviewed by Azmin on January 16, 2017 Rating: 5

No comments:

ads 728x90 B
Powered by Blogger.