PADANG RENGAS 26 Feb. - Menteri Pelancongan dan Kebudayaan, Datuk Seri Mohamed Nazri Abdul Aziz mencadangkan kepada Kabinet supaya penyerahan baucar tunai Bantuan Rakyat 1Malaysia (BR1M) diperkemas pada masa akan datang dengan hanya menggunakan nombor siri.
Beliau yang juga Ahli Parlimen Padang Rengas berkata, pencarian baucar yang menggunakan nama penerima pada majlis penyerahannya, hanya menyebabkan kesesakan ekoran sambutan baik yang diterima daripada orang ramai.
“Berdasarkan pengalaman, kita minta supaya baucar akan datang tidak perlu diletakkan nama, cuma ada nombor siri dan kita boleh bagi terus. Kalau ada nama, kita kena panggil dan menyusahkan orang ramai.
“Di Padang Rengas, majlis penyerahan BR1M juga kita cadang untuk lakukannya mengikut mukim, jadi ini dapat mengurangkan kesesakan. Biar ada enam atau tujuh majlis penyerahan pun tak apa, kita kumpul penduduk dan buat di kampung-kampung,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas majlis penyampaian BR1M kawasan Parlimen Padang Rengas di Dewan Millenium Lubuk Merbau di sini hari ini. - UTUSAN ONLINE
Baucar BR1M dicadang guna nombor siri
Reviewed by Admin
on
February 26, 2017
Rating:
No comments: