Seo Services

Lantik jurucakap rasmi untuk kes Jong Nam, kata peguam

Seorang peguam menggesa Putrajaya melantik seorang menteri atau timbalan menteri sebagai jurucakap rasmi kepada media berhubung siasatan berterusan ke atas pembunuhan Kim Jong Nam.

Mohamed Haniff Khatri Abdulla berkata, sejak kebelakangan ini, terdapat kenyataan bercanggah dikeluarkan kepada media dan ini boleh menjejaskan prosiding mahkamah kelak.

“Media dahagakan berita mengenai kes berprofil tinggi ini dan pihak berkuasa perlu tahu apa yang patut dihebahkan serta menjauhkan maklumat lain daripada orang awam buat masa ini,” kata peguam itu dalam laman Facebook beliau.

Haniff mencadangkan jurucakap itu dilantik dalam kalangan satu daripada 3 kementerian berkait rapat dengan siasatan dan berdasarkan kesesuaian, iaitu Kementerian Dalam Negeri, Kementerian Kesihatan atau Kementerian Luar.

Beliau berkata demikian susulan kenyataan Timbalan Duta Besar Indonesia ke Malaysia, Andreano Erwin yang suspek Indonesia dalam tahanan polis, Siti Aisyah, mendakwa dibayar RM400 untuk menyapu “minyak bayi” pada muka mangsa sebagai sebahagian daripada rancangan realiti gurauan TV.

Dalam pertemuannya dengan Siti Aishah selama 30 minit di balai polis Cyberjaya pagi semalam, wanita itu bertegas dia tidak tahu bahan itu adalah racun dan diperdaya untuk melakukan pembunuhan itu.

“Dia hanya kata secara umum seseorang meminta dia melakukannya dan tidak tahu apa yang akan berlaku selepas itu,” kata Andreano yang dipetik New Straits Times.

Bagaimanapun, Ketua Polis Negara, Tan Sri Khalid Abu Bakar pada 22 Februari lalu berkata, 2 suspek wanita yang ditahan itu tahu cecair digunakan mereka beracun dan mereka pergi ke klia2 untuk membunuh Jong Nam.

“Sudah tentu mereka tahu. Sudah tentu anda nampak 2 wanita itu menyapu cecair (ke muka Jong Nam) dan mereka pergi ke tandas untuk membasuh tangan. Jadi, mereka sudah tentu tahu ia cecair bertoksik.”

Malah, katanya, kedua-dua wanita terbabit menjadikan pusat beli-belah sebagai lokasi utama untuk berlatih melakukan aksi berkenaan.

“Berdasarkan siasatan kita, mereka sudah beberapa kali bertemu dan lakukan latihan. Mereka lakukan latihan di Pavilion dan KLCC. Aksi sebenar adalah ke atas subjek (Jong Nam),” kata Khalid.

Wanita yang memegang pasport dengan nama Doan Thi Huong, 28, dan Siti yang berusia 25 tahun masih dalam tahanan polis untuk membantu siasatan kes itu.

Selain 2 wanita itu, 2 lagi lelaki turut ditahan. Suspek ke-3 ialah lelaki tempatan yang sudah dibebaskan dengan jaminan polis, manakala suspek ke-4 ialah warga Korea Utara bernama Ri Jong Chol.

Polis masih memburu 7 suspek warga Korea Utara – 4 daripada mereka yang dikenali sebagai Ri Ji Hyon, 33, Hong Song Hac, 34, O Jong Gil, 55, dan Ri Jae Nam, 57, sudah meninggalkan Malaysia pada hari Jong Nam diserang.

Manakala 2 lagi suspek Korea Utara ialah Hyon Kwang Song yang merupakan setiausaha kedua di Kedutaan Korea Utara di Kuala Lumpur dan pekerja Air Koryo, Kim Uk Il, yang dikehendaki polis untuk membantu siasatan. Kedua-duanya dipercayai masih berada dalam negara ini.

Jong Nam tiba di Malaysia pada 6 Februari lalu dan dijadualkan berlepas ke Macau dengan penerbangan 10.30 pagi pada 13 Februari lalu, apabila beliau diserang 2 wanita di klia2.

Anak sulung kepada bekas pemimpin Korea Utara, Kim Jong Il itu mendapatkan bantuan di kaunter di kaunter khidmat pelanggan klia2, tetapi meninggal dunia ketika dalam perjalanan ke Hospital Putrajaya.

Haniff berkata, kenyataan bercanggah Khalid dan Andreano boleh mendatangkan masalah kepada pihak pendakwaan jika suspek akhirnya didakwa dengan kesalahan jenayah dalam kes pembunuhan Jong Nam.

Beliau berkata, tugas polis adalah menyiasat dan mengumpul bukti jenayah, manakala pendakwa raya perlu memeriksa bukti untuk menentukan sama ada mereka mempunyai kes berdasarkan undang-undang Malaysia.

“Akhirnya, peguam kerajaan yang akan mengemukakan bukti di dalam mahkamah, bukannya pihak polis,” katanya.

Beliau berkata, peraturan keadilan asasi adalah untuk mahkamah memutuskan jika tertuduh bersalah dan tidak diadili media.

Katanya, kes berprofil tinggi mempunyai konotasi politik yang tinggi dan sebarang percanggahan ketika siasatan dijalankan boleh mengundang kritikan daripada Pyongyang.

“Kita tidak harus memberi ruang kepada mana-mana pihak ke-3 mencampur tangan dalam siasatan dan membantu kekalkan persepsi Putrajaya bersekongkol dengan musuh Korea Utara,” kata Haniff. - FMT
Lantik jurucakap rasmi untuk kes Jong Nam, kata peguam Lantik jurucakap rasmi untuk kes Jong Nam, kata peguam Reviewed by Admin on February 26, 2017 Rating: 5

No comments:

ads 728x90 B
Powered by Blogger.