KOTA KINABALU: Tiga mangsa culik warga Malaysia yang diselamatkan pasukan keselamatan Filipina lewat malam tadi, dihantar ke hospital tentera di Jolo di selatan negara jiran itu untuk rawatan dan pemeriksaan kesihatan.
Fandy Bakran, 26; Mohamad Jumadil Rahim, 23, dan Mohd Ridzuan Ismail, 32, dilaporkan kurang sihat serta berada dalam keadaan lemah kerana dehidrasi dan akan diberikan rawatan, di samping rehat secukupnya.
Pegawai Penerangan Pemerintah Barat Mindanao, Kapten Jo-Ann D Petinglay, berkata tiga tebusan terbabit diselamatkan tentera Filipina dalam operasi di sebuah kampung di Panglima Estino, Wilayah Sulu, kira-kira jam 11.30 malam tadi.
"Tiada pertempuran antara pasukan keselamatan Filipina dan militan Abu Sayyaf ketika misi menyelamat tiga tebusan warga Malaysia itu. Operasi berjalan lancar dan tiada sesiapa cedera," katanya ketika dihubungi, hari ini.
Jo-Ann berkata, ketiga-tiga mangsa diselamatkan selepas pihak keselamatan Filipina menerima maklumat penting susulan operasi menyelamat dua tebusan warga Malaysia di perairan Kalinggalang Caluang berhampiran Pulau Pata di Wilayah Sulu, awal pagi Khamis lalu.
Pagi tadi, Komander Kawasan Keselamatan Khas Pantai Timur Sabah (ESSCOM), Datuk Wan Abdul Bari Wan Abdul Khalid, mengesahkan menerima maklumat daripada pasukan keselamatan Filipina berhubung tiga mangsa terbabit diselamatkan.
Ketiga-tiga mangsa adalah antara lima kru bot kapal tunda yang diculik di perairan Dent Heaven, Lahad Datu pada 18 Julai tahun lalu, ketika dalam perjalanan ke Semporna selepas menghantar pasir di Sandakan.
Kapal tunda itu ditemui terkandas di kawasan beting pasir dengan enjin hidup tanpa operator, manakala barangan di dalamnya berselerak sebelum mereka disahkan diculik dan dibawa ke selatan Filipina.
Awal pagi Khamis lalu, juragan kapal tunda terbabit, Abdul Rahim Summas, 62 dan seorang lagi mangsa, Tayudin Anjut, 45, diselamatkan oleh pasukan keselamatan Filipina dalam operasi khas di perairan Kalinggalang Caluang berhampiran Pulau Pata di Wilayah Sulu, selatan negara jiran itu.
Abdul Rahim dan Tayudin tiba di Kuala Lumpur malam tadi dan mereka sudah diserahkan kepada keluarga masing-masing dalam majlis ringkas dihadiri Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak dan isteri, Datin Seri Rosmah Mansor di ibu negara, pagi tadi.-BH
3 Mangsa Culik Ditemui Lemah, Dihantar Ke Hospital Tentera
Reviewed by Unknown
on
March 27, 2017
Rating:
Reviewed by Unknown
on
March 27, 2017
Rating:

No comments: