JOHOR BAHRU: Polis Johor akan melupuskan pelbagai barangan kes narkotik bernilai kira-kira RM11 juta membabitkan 3,537 kertas siasatan bagi tempoh antara tahun 2003 hingga 2013.
Ketua Polis Johor, Datuk Seri Wan Ahmad Najmuddin Mohd, berkata antara barangan yang dilupus ialah heroin, ganja, ketamin, syabu, ubat batuk, ketum dan pelbagai peralatan memproses bahan terlarang itu.
Beliau berkata, polis juga sudah mendapat kebenaran mahkamah dan Pejabat Timbalan Pendakwa Raya Johor untuk melupuskan barangan kes terbabit.
"Jumlah keseluruhan berat barangan narkotik yang akan dilupuskan ialah 267.5 kilogram dan kerja pelupusan itu akan dijalankan di Bukit Pelanduk, Negeri Sembilan, hari ini," katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Johor di sini, hari ini.
Wan Ahmad Najmuddin berkata, Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) serius dalam menangani kegiatan pengedaran dan penyalahgunaan dadah.
Bagi tempoh tiga bulan tahun ini, katanya, JSJN Johor menahan 4,607 individu terbabit dengan kegiatan dadah membabitkan rampasan berjumlah 753 kilogram bernilai kira-kira RM29 juta.
"Antara dadah yang dirampas ialah syabu, ketamin, pil erimin 5, heroin dan ganja," katanya.-BH
Barangan Kes Narkotik RM11 Juta Dilupus
Reviewed by Unknown
on
March 22, 2017
Rating:

No comments: