Seo Services

Insaf Dengan Janji Palsu


RANAU: Setelah empat tahun berada dalam kem pembangkang, kini ramai ahli mereka mula mahu menyertai Barisan Nasional (BN) kerana telah sedar dengan pembohongan dan janji palsu yang pihak pembangkang taburkan pada kempen pilihan raya umum yang lalu.

Menurut rakyat di kawasan yang dimenangi pembangkang, mereka mengalami banyak kerugian dari segi pembangunan kerana wakil rakyat mereka tidak dapat menyumbang apa-apa walaupun hanya untuk menyelenggara parit tersumbat.

Demikian dinyatakan ahli Parlimen Ranau Datuk Dr Ewon Ebin ketika berucap pada majlis penyerahan borang keahlian UPKO di Kampung Mesilou, Silou Tengah, Kituntul Baru dan Betong Ulu Sugut dalam program Gerakan Penambahan dan Kemaskini keahlian parti itu di seluruh Ranau.

Beliau berkata sudah menjadi lumrah pihak pembangkang akan turun padang dengan begitu lantang sekali apabila menjelang pilihan raya dengan menabur pelbagai janji kosong yang mustahil mereka tunaikan.

“Pembangkang akan bangkit untuk mengulangi semua isu yang kita sendiri dalam komponen BN telah suarakan kepada kerajaan seperti royalti minyak dan hak-hak lain yang patut diperolehi rakyat negeri Sabah dan Sarawak.

“Menariknya, bila ada ahli pembangkang yang berkempen dengan begitu sedap untuk didengar tetapi sangat mustahil untuk dilaksanakan seperti menurunkan harga rokok sehingga RM4 sekotak, dan sebagainya.

“Justeru, rakyat janganlah mudah terperdaya dengan semua janji kosong pihak pembangkang apabila berkunjung dan berkempen di kampung masing-masing kerana mereka akan sanggup mengatakan apa sahaja demi mencapai agenda peribadi,” katanya.

Ewon turut mengingatkan rakyat supaya tidak terpengaruh dengan spekulasi pembangkang yang kononnya mereka akan mengambil alih kerajaan selepas pilihan raya umum akan datang.

“Kalau kita lihat susunan pihak pembangkang sekarang yang begitu banyak parti tetapi tidak sehaluan, kita sudah boleh melihat dengan jelas bahawa mereka pasti akan kecundang berbanding komponen BN yang sangat bersatu padu,” katanya.

Beliau mengakui setiap kerajaan memang tidak terkecuali daripada melakukan kesilapan tetapi kerajaan BN sekarang adalah yang terbaik berbanding kerajaan lain di Asia Tenggara. Jadi bagaimanakah dan apa sebenarnya bentuk kerajaan yang pembangkang mahukan?

Pada majlis itu, Ewon yang juga pengerusi BN Ranau telah menerima sebanyak 63 borang tambahan keahlian parti UPKO yang baharu di Kg Mesilou, 39 di Kg Silou Tengah dan 35 di Kg Kituntul Baru.

Pada majlis berasingan, Pegawai Khas Parlimen Japirin Sahadi turut menerima borang keahlian baharu UPKO sebanyak 45 keping di Kg Kinaratuan, Lohan dan 42 di Kg Soborong Paginatan.

Di Kg Kituntul Baru, Ewon telah meluluskan peruntukan sebanyak RM20 ribu bagi pembinaan jambatan gantung dan RM30 ribu untuk membina parit dari rumah ke rumah bagi mengelak banjir.

Sementara di Kg Mesilou, beliau bersedia meluluskan peruntukan membina balai raya kampung itu apabila tapak pembinaan sudah disediakan oleh pemimpin kampung berkenaan.

Turut hadir pada majlis itu, Setiausaha Politik dan Sulit Kementerian Sumber dan Teknologi Maklumat James Ingguru dan Jaibi Dualis, Ketua Pemuda UPKO Nasional Arthur Sen, Ketua Bahagian PBS Paginatan Datuk Dr Othman Minudin dan pemimpin setempat.-UB
Insaf Dengan Janji Palsu Insaf Dengan Janji Palsu Reviewed by Unknown on March 31, 2017 Rating: 5

No comments:

ads 728x90 B
Powered by Blogger.