Seo Services

Kanak-kanak Maut Dilanggar Kereta Bapa


KUANTAN – Seorang kanak-kanak berusia dua tahun maut dilanggar kereta bapanya yang sedang mengundur di perumahan Felda Mawar Jengka 10, Maran dekat sini, pada 9.30 semalam.

Ketua Polis Daerah Maran DSP Mazlan Hassan berkata mangsa Nur Aireena Ilhani Azizi dilanggar kereta pacuan empat roda jenis Toyota Hilux semasa bapanya Azizi Ramli, 48, yang merupakan peniaga mahu mengambil tong gas di kedainya.

“Bapa mangsa tidak menyedari anaknya berada di belakang kenderaan. Beliau keluar untuk memeriksa kereta selepas mendengar bunyi sesuatu dan menjumpai mangsa dalam keadaan berlumuran darah di bawah kereta.

“Bapa mangsa membawanya ke Hospital Jengka, tapi beliau disahkan telah meninggal dunia akibat kecederaan parah di kepala,” katanya semasa dihubungi di sini, hari ini.

Mazlan menambah bapa mangsa telah membuat laporan polis di Balai Polis Bandar Tun Abdul Razak, Maran dan siasatan dijalankan mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Katanya, jenazah mangsa juga telah dituntut bagi urusan pengebumian kira-kira pukul 3 petang tadi.

Sementara itu, abang mangsa Muhamad Aiman, 18, berkata menjadi kebiasaan kepada mangsa yang merupakan anak bongsu daripada empat beradik itu untuk keluar apabila melihat bapa mereka pulang ke rumah.

Katanya, semasa kejadian bapanya baharu pulang daripada menghantar barang tetapi menerima panggilan telefon daripada seorang pelanggan yang meminta sebuah tong gas dihantar ke rumah.

“Ayah mengundurkan kereta kerana mahu mengambil tong gas yang diletakkan di hadapan kedai. Tiada siapa yang sedar adik telah membuka pintu jeriji untuk keluar,” katanya.

Muhamad Aiman menambah ibunya Noraini Mohamad, 41, pengsan apabila melihat kejadian yang menimpa mangsa, yang juga merupakan anak perempuan tunggal dalam keluarga. – BERNAMA
Kanak-kanak Maut Dilanggar Kereta Bapa Kanak-kanak Maut Dilanggar Kereta Bapa Reviewed by Azmin on March 01, 2017 Rating: 5

No comments:

ads 728x90 B
Powered by Blogger.