Seo Services

LHDN Perlu Optimum Kutipan Cukai, Pastikan Tempo Pembangunan Negara - Najib


CYBERJAYA, 1 Mac (Bernama) -- Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak mahu Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) mengoptimumkan kutipan cukai untuk memastikan tempo pembangunan dan kualiti perkhidmatan yang lebih baik kepada rakyat.

Najib yang juga Menteri Kewangan berkata sekiranya hasil negara menguncup, ia akan memberi kesan buruk.

Memberikan contoh, beliau berkata terdapat negara Eropah yang terpaksa meminjam dari negara lain kerana keengganan rakyat membayar cukai dan juga kegagalan pihak berkuasa mengutip cukai.

"Justeru, perlu kita lakukan apa sahaja yang termampu untuk terus memastikan LHDN dapat mengutip cukai secara optimum.

"Kita tidak mahu ada pihak yang tidak mahu membayar cukai ataupun 'the underground economy' meluas sehingga menyebabkan kehilangan hasil yang begitu ketara kepada negara kita.

"Inilah yang patut kita lakukan supaya kelompongan itu dapat dikecilkan dan dapat dihapuskan sama sekali melalui tindakan kutipan cukai yang lebih cekap," katanya pada majlis Hasilian Bersama Perdana Menteri bersempena sambutan Hari Hasil Ke-21 di sini, hari ini.

Najib berkata elemen takut perlu ada dalam kalangan pihak yang cuba mengelak daripada membayar cukai bahawa "mereka tidak mungkin terlepas daripada pihak LHDN".

Dengan adanya elemen itu, beliau percaya budaya membayar cukai akan menjadi lebih mantap dalam kalangan rakyat.

"Kalau rakyat sedar bahawa ini bukan sahaja satu tanggungjawab sosial dan moral tetapi ia juga tanggungjawab dituntut agama kerana ini adalah kewajipan kita untuk melunaskan cukai.

"Apabila kita bayar cukai, inilah sumbangan kita kepada negara dan kepada kesejahteraan rakyat.

"Dengan adanya sikap seperti ini, maka sebuah negara akan terus berkembang dan mencapai tahap kejayaan yang lebih besar," katanya sambil menambah bahawa usaha kerajaan menyediakan pendidikan berkualiti, kesihatan dan pembangunan infrastruktur memerlukan hasil.

Pada tahun lepas, LDHN berjaya mengutip sebanyak RM114 bilion sekaligus menyumbang 52.51 peratus hasil kerajaan.

Najib menetapkan Petunjuk Prestasi Utama (KPI) LHDN untuk mencapai kutipan RM127.7 bilion pada tahun ini.

Turut hadir ialah isteri perdana menteri Datin Seri Rosmah Mansor, Timbalan Menteri Kewangan Datuk Lee Chee Leong dan Ketua Setiausaha Perbendaharaan Tan Sri Dr Mohd Irwan Serigar Abdullah.

Pada majlis itu, perdana menteri turut melancarkan enam program baharu LHDN iaitu Kempen Klik e-Filing; Bayaran e-PCB/ e-DATA Potongan Cukai Berjadual (PCB) melalui nombor akaun PCB; bayaran melalui kad kredit atau debit di kaunter bayaran; e-Lejar syarikat; Hasil Info Data System (HIDS); dan e-Permohonan pindaan BE.

-- BERNAMA
LHDN Perlu Optimum Kutipan Cukai, Pastikan Tempo Pembangunan Negara - Najib LHDN Perlu Optimum Kutipan Cukai, Pastikan Tempo Pembangunan Negara - Najib Reviewed by Azmin on March 02, 2017 Rating: 5

No comments:

ads 728x90 B
Powered by Blogger.