PUTRAJAYA: New Zealand meminta Malaysia mengendalikan latihan dalam bidang antikeganasan dan deradikalisasi.
Peguam Negara New Zealand Christopher Finlayson, yang juga menteri bertanggungjawab bagi agensi risikan keselamatan New Zealand, menyampaikan permintaan itu kepada Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi ketika beliau melakukan kunjungan hormat ke atas Timbalan Perdana Menteri hari ini.
Ahmad Zahid, yang juga Menteri Dalam Negeri, berkata Finlayson turut menyatakan rasa kagum dengan pendekatan Malaysia dalam antikeganasan dan deradikalisasi.
Dalam pertemuan kira-kira sejam itu, Finlayson turut memohon kepakaran Malaysia untuk membanteras jenayah siber, katanya.
Ahmad Zahid berkata sejak terjalinnya hubungan diplomatik pada 25 Sept 1957, Malaysia dan New Zealand bekerjasama rapat dalam bidang seperti perdagangan dan pelaburan, pendidikan, pertahanan, di samping hubungan rakyat dengan rakyat.
"Malaysia berkeyakinan hubungan antara kedua-dua negara dapat terus dipertingkatkan dalam bidang utama termasuk perdagangan dan pelaburan, pendidikan, pertahanan di samping makanan dan pertanian," katanya menerusi kenyataan yang dikeluarkan bersempena pertemuan itu.
Mengakui bahawa hubungan rakyat dengan rakyat berperanan penting dalam merapatkan hubungan dan kerjasama dua hala, Ahmad Zahid berkata Malaysia berharap supaya diadakan lebih banyak pertukaran lawatan di semua peringkat.
Beliau berkata Malaysia dan New Zealand akan menyambut ulang tahun ke-60 penubuhan hubungan diplomatik tahun ini, dengan kedua-dua pihak mencadangkan beberapa program untuk memperingati peristiwa itu, antaranya pertandingan mencipta logo, lawatan dan forum.
-- BERNAMA
New Zealand Minta Malaysia Kendali Latihan Dalam Antikeganasan Dan Deradikalisasi
Reviewed by Azmin
on
March 02, 2017
Rating:
No comments: