Seo Services

Pelabur India Perlu Rebut Peluang Ditawarkan Malaysia


CHENNAI: Datuk Seri Najib Razak menggesa pelabur dari India menggunakan potensi dan pelbagai kemudahan ditawarkan Malaysia sebagai pintu masuk ke ASEAN dan kawasan serantau. 

Perdana Menteri berkata, Malaysia mempunyai asas ekonomi yang kuat, infrastruktur dan dasar mesra perniagaan untuk syarikat India meluaskan perniagaan mereka. 

"Saya gesa anda ambil peluang ditawarkan Malaysia. Selain hubungan sejarah dan budaya di antara kedua-dua negara, kedua-dua kerajaan juga mempunyai hubungan peringkat tertinggi yang baik," katanya. 

Beliau berkata demikian ketika berucap merasmikan mesyuarat meja bulat pemimpin industri Gabungan Dewan Perniagaan dan Perindustrian India-Malaysia, di sini, sebentar tadi. 

Najib berkata, Perkongsian Komprehensif Ekonomi Serantau (RCEP) apabila menjadi kenyataan akhir tahun ini juga menawarkan potensi besar untuk perdagangan dan pelaburan di rantau ini. 

Ia menjanjikan pengurangan halangan, akses kepada pasaran yang luas dan integrasi ekonomi. 

Perjanjian perdagangan strategik itu juga akan meningkatkan persaingan ekonomi dan ketersambungan perniagaan di rantau ini. 

"Jadi, dengan termeterainya RCEP dalam masa terdekat, kami berharap lebih ramai pelabur India menggunakan kedudukan strategik Malaysia, sama ada untuk membuka pejabat bagi memberi perkhidmatan kepada syarikat di rantau ini atau menggunakan Malaysia untuk menembusi pasaran ASEAN, ekonomi ketujuh terbesar dunia. 

"Dalam konteks ini, kami memperkenalkan skim Hab Prinsipal untuk menjadikannya lebih menarik bagi syarikat global menggunakan kedudukan strategik Malaysia di ASEAN dan Asia Pasifik," katanya. 

Najib berkata, Malaysia juga meneroka potensi besar integrasi e-perdagangan dalam rantaian pembekalan global. 

Katanya, bulan lalu, beliau dan pemilik kumpulan Alibaba, Jack Ma, telah melancarkan Zon Perdagangan Bebas Digital, yang pertama di dunia. 

"Ini sebahagian inisiatif strategi e-perdagangan kebangsaan dan menawarkan persekitaran terbaik untuk syarikat digital menjalankan perniagaan. 

"Potensinya amat besar dan saya berharap syarikat dari India turut mengambil peluang ini untuk meluaskan operasi mereka ke Malaysia," katanya. - BH
Pelabur India Perlu Rebut Peluang Ditawarkan Malaysia Pelabur India Perlu Rebut Peluang Ditawarkan Malaysia Reviewed by Azmin on March 31, 2017 Rating: 5

No comments:

ads 728x90 B
Powered by Blogger.