SIBU : Pembangunan tanah hak adat bumiputera (NCR) di kawasan Ulu Ngemah hanya akan melibatkan pemilik yang telah bersetuju untuk membangunkan tanah mereka, kata Pengerusi Persatuan Penduduk Ulu Ngemah (PPUN) Tuai Rumah Magai Sawing.
Katanya perkara itu telah beliau jelaskan kepada Pengerusi Jawatankuasa Persatuan Pemilik Tanah Ulu Ngemah Thomas Laja pada 23 Jan lalu.
"Thomas faham akan penjelasan tersebut dan pihak PPUN telah menyerahkan surat maklum balas kepada beliau sendiri, dan beliau memberitahu tidak mencampuri urusan PPUN dalam pelaksanaan pembangunan sekiranya tidak melibatkan tanah beliau," katanya kepada pemberita, di sini hari ini.
Beliau mengulas dakwaan Thomas yang disiarkan akhbar tempatan bahawa 80 peratus pemilik tanah terbabit tidak bersetuju dengan rancangan pembangunan itu kerana sayangkan tanah masing-masing.
Beliau berkata sejak PPUN membuat cadangan pembangunan di atas tanah seluas 9,000 hektar itu, banyak pihak luar ingin mengambil kesempatan dan campur tangan dalam urusan PPUN demi kepentingan sendiri dan juga politik.
Sambil mengakui ada pemilik yang tidak bersetuju dengan cadangan pembangunan itu, beliau berkata angkanya tidak sebesar yang didakwa Thomas.
"Penduduk asal Ulu Ngemah tidak lagi mahu ketinggalan dari segi pembangunan dan ekonomi kerana kurang peluang pekerjaan di sini. Ini terbukti apabila ramai anak-anak muda yang berasal dari Ulu Ngemah terpaksa berhijrah ke bandar-bandar untuk mencari peluang pekerjaan," katanya.
Tuai Rumah Magai berkata pihaknya yang merupakan pemilik sah tanah NCR di Ulu Ngemah tidak mahu hak mereka diganggu atau dirampas oleh pihak luar yang tidak bertanggungjawab untuk kepentingan sendiri.
Sudah sampai masa tanah NCR itu dimajukan oleh mereka sendiri dan PPUN berhak menentukan jenis pembangunan di atas tanah terbabit mengikut persetujuan majoriti anggota persatuan, katanya.
PPUN juga percaya modul pembangunan tanah NCR yang akan dilaksanakan di Ulu Ngemah akan mendapat sokongan kerajaan negeri dan agensi-agensi yang berkaitan.
"Kajian akan dilaksanakan terlebih dahulu mengenai bentuk pembangunan yang sesuai di tanah NCR terbabit namun perkara itu tidak dapat kami laksanakan buat masa ini berikutan masalah yang timbul ini. Kami sudah kerugian banyak masa namun kami terpaksa menyelesaikan isu itu agar ianya tidak mendatangkan masalah di masa akan datang," katanya.
Beliau juga berkata PPUN tidak teragak-agak mengambil tindakan sewajarnya jika ada pihak cuba membuat provokasi atau menghasut anggota PPUN dana isu itu.
-- BERNAMA
Pembangunan Tanah Ulu Ngemah Hanya Untuk Pemilik Yang Setuju - Persatuan
Reviewed by Unknown
on
March 28, 2017
Rating:
Reviewed by Unknown
on
March 28, 2017
Rating:

No comments: