Seo Services

"Berpolitik Boleh, Selagi Guru Tak Hentam Kerajaan"

PUTRAJAYA: Kementerian Pendidikan tidak akan menyekat kakitangannya terutama guru terbabit dalam politik selagi mereka tidak naik ke pentas pembangkang mengutuk kerajaan.

Menterinya, Datuk Seri Mahdzir Khalid, berkata guru boleh bergiat cergas dalam parti politik tetapi perlu mempunyai had kerana mereka masih tertakluk mengikut Perintah Am sebagai seorang penjawat awam.

"Kita tidak menghalang mereka untuk terbabit dalam politik tetapi apabila ada segelintir daripada mereka yang ekstrem sehingga naik pentas pembangkang menghentam kerajaan, ini sudah melampau.

"Mereka perlu mengambil kira semua perkara sebelum membuat sebarang tindakan yang boleh menyalahi peraturan sebagai kakitangan awam, " katanya ketika ditemui pemberita selepas menerima kunjungan Duta Jepun ke Malaysia, Dr Makio Miyagawa, di kementeriannya, di sini hari ini.

Yang turut hadir, Ketua Setiausaha Kementerian Pendidikan, Datuk Seri Alias Ahmad dan Ketua Pengarah Pelajaran, Tan Sri Dr Khair Mohamad Yusof.

Sempena lawatan itu, Kementerian Pendidikan turut menerima bantuan kewangan kira-kira RM305,000 daripada kerajaan Jepun bagi menyokong program latihan Bahasa Jepun di Institut Pendidikan Guru Kampus Antarabangsa (IPGKBA), khusus bagi menaik taraf makmal bahasa Jepun dan bilik latihan bahasa Jepun.

Mahdzir berkata, guru bebas bergiat cergas dalam politik termasuk memuat naik sebarang status di laman sosial seperti Facebook, namun sebagai penjawat awam, perlu lebih berhati-hati dengan apa yang dimuat naik.

"Kita tidak kisah sekiranya guru mengkritik untuk sebarang penambahbaikan di sekolah mahupun sistem yang diguna pakai, malah pihak kementerian sedia menerima sebarang kritikan untuk kebaikan bersama.

"Mereka boleh menggunakan apa sahaja perantaraan untuk meluahkan sebarang masalah tetapi jangan melampau sehingga tidak menjaga sensitiviti sebagai orang yang bekerja dengan kerajaan," katanya.

Dalam pada itu, beliau berkata pihaknya akan mengambil tindakan sekiranya lima guru yang diberi notis tunjuk sebab oleh kementerian tidak membalas surat berkenaan dalam tempoh yang ditetapkan. -BH
"Berpolitik Boleh, Selagi Guru Tak Hentam Kerajaan" "Berpolitik Boleh, Selagi Guru Tak Hentam Kerajaan" Reviewed by Azmin on March 28, 2017 Rating: 5

No comments:

ads 728x90 B
Powered by Blogger.