NEW YORK: Russia berjanji menggunakan kuasa veto ke atas resolusi Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) disokong kerajaan Barat hari ini mengenakan sekatan ke atas 21 individu, pertubuhan dan syarikat Syria yang didakwa terbabit dalam serangan senjata kimia di negara bergolak itu.
Timbalan Duta Russia ke PBB, Vladimir Safronkov, Jumaat lalu berkata Moscow akan menggunakan kuasa veto ke atas resolusi itu, yang disifatkan 'berat sebelah dan berdasarkan bukti tidak kukuh serta berunsurkan provokasi.'
Draf resolusi Majlis Keselamatan juga akan melarang semua negara membekalkan helikopter kepada kerajaan Syria, yang sudah dipastikan penyiasat digunakan dalam serangan kimia.
Resolusi itu, pada awalnya disokong Britain dan Perancis, baru-baru ini disertai Amerika Syarikat.
Duta Perancis ke PBB, Francois Delattre, semalam berkata kerajaan gembira kerana pentadbiran baharu AS mengesahkan ia menyokong pandangan mereka mengenai keperluan sekatan dikenakan.
Duta Britain pula, Matthew Rycroft, berkata sokongan AS adalah petanda ketiga-tiga negara mahu menentang perkembangan senjata pemusnah besar-besaran dan memastikan senjata kimia tidak akan digunakan sewenang-wenangnya.
Resolusi menyusul siasatan bersama oleh PBB dan pemerhati senjata kimia antarabangsa yang menentukan kerajaan Syria mendalangi tiga serangan membabitkan gas klorin dan Daesh melancarkan serangan menggunakan gas mustard.
Sekutu rapat Syria, Russia, menyertai negara Barat mengadakan siasatan, dikenali sebagai JIM, untuk menentukan pihak bertanggungjawab melancarkan serangan kimia. - TIMES OF INDIA
Russia Bantah Resolusi PBB Ke Atas Syria
Reviewed by Azmin
on
March 01, 2017
Rating:
No comments: