KUALA LUMPUR: Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak melahirkan rasa sedihnya diatas tindakan pembangkang yang kerap kali ke luar negara memburukkan imej Malaysia diperingkat antarabangsa.
Berbeza dengan lawatannya ke India yang bermula semalam, Najib berkata, beliau ke negara berkenaan membawa empat misi merangkumi usaha menjalin hubungan ekonomi kedua-dua negara disamping mengeratkan pertalian diplomatik.
"Saya lihat pemimpin pembangkang juga kerap mengadakan misi ke luar negara, tetapi saya sedih apabila mereka memberi keutamaan untuk memburukkan negara dalam agenda lawatan mereka.
"Ini sebenarnya satu tindakan “economic sabotage”," katanya dipetik blognya, semalam.
Katanya lagi, tindakan pembangkang itu seolah-olah menghalau pelabur asing dari Malaysia yang jelas merugikan rakyat disamping sebagai usaha untuk menutup kelemahan pentadbiran mereka sendiri.
"Contohnya, Lim Guan Eng suatu ketika dahulu dengan bangganya telah mengeluarkan kenyataan bahawa Pulau Pinang merupakan destinasi pilihan pelabur asing.
"Hakikatnya hari ini, banyak pelabur asing meninggalkan Pulau Pinang. Lim Guan Eng pula telah mengubah rentak bicaranya dan penyokong-penyokongnya menuduh bahawa kita menjual negara apabila banyak pelaburan asing masuk ke Malaysia.
"Jika betul tuduhan pembangkang bahawa kita jual negara melalui pelaburan, adakah mereka sedar rakyat dan syarikat Malaysia melabur hampir RM569.4 bilion di luar negara?" soal Najib kepada Ketua Menteri Pulau Pinang itu.
Tambahnya lagi, dialog Malaysia sebuah negara gagal juga adalah dialog sama dugunakan pembangkang sejak berpuluh tahun dahulu yang jelas merupakan tuduhan tidak benar sama sekali.
"Saya ingin nasihatkan semua agar menggunakan logik akal dan lihatlah keyakinan pemimpin luar negara terhadap Malaysia.
"Dalam tempoh 2 tahun ini, kita telah menerima kunjungan daripada pelbagai ketua negara, antaranya Presiden Perancis, Raja Salman Arab Saudi, Presiden Filipina, Presiden Amerika Syarikat dan Perdana Menteri Singapura.
"Kita juga telah diterima baik di China, Jepun, Indonesia, German dan banyak negara lain. Malah hasil lawatan-lawatan ini, kita telah mencapai hasil kerjasama yang bakal menguntungkan Malaysia, contohnya perjanjian bersama Aramco yang bernilai RM31 bilion dan MOU bersama China yang bernilai RM144 bilion," ujarnya.
Mengulas mengenai empat misi dalam lawatannya ke India, Najib berkata, misi pertama dan kedua adalah membuka lembaran kedua-dua negara meneroka peluang baru pelbagai sektor dan mengeratkan hubungan diplomatik antara Malaysia-India.
"Ketiga, membuka peluang pelaburan kepada syarikat-syarikat Malaysia agar mereka dapat mengembangkan perniagaan ke pasaran yang lebih luas di luar negara, terutamanya negara yang dilawati.
"Ini penting dalam memastikan syarikat kita terus berdaya saing di peringkat global dan sekaligus dapat meningkatkan hasil kepada syarikat Malaysia yang tidak lain tidak bukan akan memanfaatkan pekerja serta rakyat kita sendiri.
"Keempat, menarik pelaburan asing daripada kerajaan dan syarikat luar negara ke Malaysia. Seperti yang diketahui, apabila pelabur asing melabur dalam negara kita, kita akan mendapat manfaat dari segi pemindahan kepakaran dan teknologi serta peluang pekerjaan untuk rakyat Malaysia.
"Lebih daripada itu, mata wang ringgit kita juga turut dapat diperkukuhkan melalui kemasukan dana pelaburan," katanya lagi. - MalaysianDigest
Saya Cari Pelabur Masuk Malaysia, Pembangkang Halau Pelabur Keluar- Najib
Reviewed by Unknown
on
March 31, 2017
Rating:
No comments: