KUCHING: Skim Pembesaran Kampung (SPK) Kampung Santubong akan diteruskan walaupun ada pihak sebelum ini mendakwa projek tersebut memusnahkan artifak arkeologi.
Menteri Muda Kemudahan Awam (Elektrik dan Telekomunikasi) Dr Abdul Rahman Junaidi berkata, perbincangan bersama kurator Jabatan Muzium Sarawak, Pengarah Jabatan Tanah dan Survei (JTS) dan wakil Kementerian Pencangan Sumber dan Alam Sekitar empat hari lepas mendapati tiada lagi kesan sejarah lama yang terdapat di tapak SPK tersebut.
Menurutnya, pegawai yang terlibat turut mengunjungi tapak tersebut menemui hanya serpihan kecil daripada pasu memandangkan sebahagian besar penemuan telah dikumpul Jabatan Muzium sekitar 1960an dan 1970an.
"Dalam perbincangan empat hari lepas mengatakan tiada lagi kesan sejarah lama yang terdapat di tapak pembesaran kampung atau SPK ini.
"Apabila pegawai pergi ke situ dalam tempoh dua hari, hanya ada serpihan kecil daripada pasu lama kerana sebahagian besar penemuan telah dikumpul pada tahun 60an dan 70an oleh Jabatan Muzium," katanya.
Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas mengenai SPK Kampung Santubong memusnahkan artifak lama yang terdapat di kawasan terbabit.
Dr Abdul Rahman yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pantai Damai berkata, walaupun projek tersebut diteruskan namun batu besar yang terdapat di tapak berkenaan dibiarkan sebagai tanda penempatan penduduk kurun ke-19.
"Saya akan cadangkan kepada kerajaan agar ia dikekalkan sebagai landskap sekaligus diwartakan.
"Saya akan bawa wakil jabatan kerajaan terlibat untuk meninjau tapak lain di Kampung Santubong. Ini kerana sebahagian besar kawasan Santubong atau Semenanjung Damai adalah permulaan perdagangan luar ke Borneo.
"Pedagang dari China sudah mula berdagang di sini sejak Dinasti Tang pada kurun ke-7 diikuti Dinasti Song dan Dinasti Qing. Kesan sejarah daripada aktiviti perdagangan tersebut telah diperolehi," ujarnya.
Malah menurutnya, Santubong juga terkenal sebagai tempat persinggahan seorang peminat alam sekitar atau saintis dikenali sebagai Alfred Russel Wallace yang berlayar seluruh dunia dan singgah di Santubong pada abad ke-18.
"Beliau mengumpul flora dan fauna dan dibawa balik ke England. Kesan peninggalan beliau (Wallace) masih ada.
"Pada masa akan datang kerajaan perlu lakukan usaha untuk mengesan jejak Wallace. Ini kesan sejarah yang kita mahu hidupkan kembali. Peninggalan sejarah memang ada di kawasan ini namun tidak didedahkan secara umum," jelasnya.-Sarawakiana
Tiada Lagi Sejarah Lama, Pembesaran Kampung Santubong Diteruskan
Reviewed by Unknown
on
March 31, 2017
Rating:
No comments: