Seo Services

Eksport Malaysia Diunjur Berkembang 6 Peratus

Image result for Malaysian economy
KUALA LUMPUR: RHB Research Institute mengunjurkan eksport Malaysia akan berkembang enam peratus tahun ini berbanding kira-kira 1.1 peratus pada 2016. 

Ini, katanya, disokong oleh kenaikan kukuh dalam eksport di rantau ini dalam beberapa bulan lepas. 

Dalam satu nota penyelidikan, firma penyelidikan itu berkata, pertumbuhan itu juga disebabkan pemulihan permintaan untuk produk komoditi, di samping harganya yang lebih tinggi, kenaikan dalam jualan semi-konduktor global pada akhir 2016 serta prestasi dagangan global yang semakin baik disebabkan prospek pertumbuhan global yang semakin mantap. 

Katanya, eksport Malaysia terus meningkat kepada 26.5 peratus tahun ke tahun pada Februari, tahap terpantas dalam hampir tujuh tahun sejak Mac 2010, daripada 13.6 peratus pada Januari dan berbanding 10.7 peratus pada Disember 2016. 

"Ini adalah disebabkan pemulihan permintaan global dan juga berikutan kesan asas yang rendah, selain daripada beberapa kelewatan penghantaran pada awal Februari 2017 berikutan cuti panjang pada akhir Januari serta penyusutan mata wang," katanya. 

RHB Research berkata, dari segi pasaran, peningkatan eksport pada Februari dibantu oleh pertumbuhan kukuh penghantaran ke China, rantau ASEAN, Kesatuan Eropah dan Amerika Syarikat, tetapi sebahagiannya diimbangi pertumbuhan lebih lembap eksport ke Jepun. 

Bagaimanapun, firma penyelidikan itu menjangka pertumbuhan eksport akan kembali normal pada bulan-bulan berikutnya. 

Dari segi lain, ia berkata, import juga meningkat kepada 27.7 peratus tahun ke tahun pada Februari, tahap terpantas dalam tempoh lebih enam tahun, daripada lebih 16.1 peratus pada Januari dan lebih 11.5 peratus pada Disember. 

Ini disebabkan pertumbuhan lebih cepat dalam import barangan perantara, tambahnya. Lebihan dagangan pada Februari melebar kepada RM8.7 bilion pada bulan tersebut berbanding RM4.7 bilion pada Januari. 

Berdasarkan fakta ini, RHB Research menjangka lebihan akaun semasa akan meningkat kepada RM33.7 bilion atau 2.6 peratus daripada keluaran dalam negara kasar (KDNK) tahun ini, berbanding RM25.1 bilion atau dua peratus daripada KDNK pada 2016, disumbang oleh kenaikan lebihan dalam akaun dagangan. - BERNAMA
Eksport Malaysia Diunjur Berkembang 6 Peratus Eksport Malaysia Diunjur Berkembang 6 Peratus Reviewed by Azmin on April 06, 2017 Rating: 5

No comments:

ads 728x90 B
Powered by Blogger.