
LUCKNOW (India): Polis India sedang menyemak semula laporan kehilangan kanak-kanak, susulan penemuan seorang kanak-kanak perempuan yang tinggal di dalam hutan bersama sekawan monyet.
Kanak-kanak itu, dipercayai berusia antara 10 hingga 12 tahun, tidak boleh bercakap, tidak berpakaian dan kurus kering ketika ditemui Januari lalu, sebelum dibawa ke sebuah hospital di Bahraich iaitu sebuah bandar di Uttar Pradesh, utara India.
Ketua Perubatan hospital terbabit, D K Singh berkata kanak-kanak berkenaan dilihat berkelakuan seperti haiwan apabila berlari menggunakan tangan dan kakinya serta mengambil makanan dari lantai menggunakan mulut.
"Selepas menjalani rawatan, dia sudah boleh berjalan secara normal dan makan menggunakan tangan. Kanak-kanak itu belum boleh bercakap tetapi faham apa yang anda katakan, malah turut tersenyum," kata Singh.
Pegawai Polis, Dinesh Tripathi memberitahu, kanak-kanak berkenaan ditemui bersama sekawan monyet oleh sekumpulan pemotong kayu ketika sedang merayau di dalam hutan.
"Mereka menghubungi polis dan memberitahu kanak-kanak itu tidak memakai sebarang pakaian dan kelihatan amat selesa berada dalam lingkungan haiwan terbabit.
Apabila mereka cuba menyelamatkan kanak-kanak itu, kumpulan monyet terbabit mula bertindak ganas dan menyerang mereka," kata Tripathi.
Menurut Singh, kanak-kanak itu akan ditempatkan di rumah perlindungan sehingga identitinya dapat dikenal pasti. - AP
Kanak-kanak Ditemui Bersama Sekawan Monyet
Reviewed by Azmin
on
April 07, 2017
Rating:
No comments: