KUALA LUMPUR - Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak (gambar) menegaskan kerajaan Barisan Nasional (BN) pimpinan beliau akan terus komited mendukung Perkara 3 Perlembagaan Persekutuan yang menyebut bahawa Islam ialah agama bagi Persekutuan tetapi agama-agama lain boleh diamalkan dengan aman dan damai.
Najib berkata, jika diselami dan dilihat secara menyeluruh, banyak yang telah dilakukan oleh kerajaan untuk memastikan Islam terus berkembang dan kebajikan umatnya di negara ini terus dipelihara.
“Sebagai contoh, dalam Bajet 2017 saya telah mengumumkan peruntukan RM50 juta kepada Sekolah Agama Bantuan Kerajaan (SABK) dan RM50 juta kepada sekolah pondok yang berdaftar.
“Buat julung kalinya kerajaan juga memperuntukkan RM30 juta bagi menyelaraskan pendidikan tahfiz melalui Dasar Tahfiz Negara di mana langkah ini penting dalam menentukan hala tuju negara ke arah memastikan institusi pendidikan tahfiz al-Quran terus subur dan berkembang,” katanya menerusi blog Najib Razak hari ini.
Menurut Najib, kerajaan juga sedar bahawa pendidikan al-Quran dan tahfiz al-Quran adalah ramuan signifikan dalam memelihara Islam lebih-lebih lagi dalam memberi penyediaan kepada golongan cendekiawan Islam untuk menolak tohmahan dan fitnah golongan ekstremis terhadap Islam.
“Ini juga adalah salah satu cara kerajaan untuk memastikan fahaman ekstremis tidak menular di Malaysia. Ini sejajar dengan visi saya untuk membina sumber tenaga manusia secara holistik yang bukan sahaja berkebolehan dari segi akademik tetapi berkeupayaan dalam pelbagai aspek termasuk ketakwaan dan jati diri sebagaimana dituntut oleh Islam,” katanya.
Selain itu, jelasnya, kebajikan imam, bilal dan siak turut dipelihara di mana sebanyak 15,000 imam di bawah Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) di seluruh negara telah menerima kenaikan elaun daripada RM750 kepada RM850 sebulan.
“Seramai 16,000 siak dan bilal turut menerima bantuan RM500 secara one-off manakala elaun guru Kelas Agama dan Fardu Ain (KAFA) telah dinaikkan kepada RM900 daripada RM800 sebulan, sekali gus memanfaatkan hampir 33,000 orang guru.
“Saya juga berpuas hati dengan pengurusan haji untuk rakyat kita. Dalam memastikan rakyat kita berpeluang menunaikan Rukun Islam kelima, kerajaan dianggarkan menelan belanja subsidi sebanyak RM200 juta pada tahun ini dan kuota jemaah haji negara kita juga telah ditambah kepada 30,200 orang,” ujarnya.
Tambah beliau, pendekatan wasatiyyah dalam pentadbiran kerajaan juga menarik minat banyak pihak dan menjadikan Malaysia sebuah negara Islam progresif di mata dunia.
Katanya, konsep wasatiyyah, keadilan sosial dan kesaksamaan akan terus menjadi pegangan selagi beliau masih menjadi Perdana Menteri termasuk dalam hal ehwal politik.
“Kita mendapat banyak peng-iktirafan antarabangsa dalam usaha kita memerangi keganasan yang kononnya berlandaskan Islam, contohnya ketika lawatan saya ke India baru-baru ini, Perdana Menterinya, Narendra Modi menyatakan minat beliau dalam pelan deradikalisasi Malaysia,” katanya. -Utusan Online
Konsep Wasatiyyah Terus Dipertahankan
Reviewed by Unknown
on
April 09, 2017
Rating:
Reviewed by Unknown
on
April 09, 2017
Rating:

No comments: