Seo Services

KPDNKK, ATM Bergabung Banteras Penyeludupan


KOTA BHARU: Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK) memperluaskan kerjasama melalui konsep Strategi Lautan Biru Kebangsaan (NBOS) dengan Angkatan Tentera Malaysia (ATM) bagi mengekang aktiviti penyeludupan di sempadan.

Ketua Seksyen Harta Intelek Bahagian Penguatkuasaan KPDNKK, Rosli Ahmad, berkata melalui kerjasama itu, ATM akan membantu dengan menyalurkan perkongsian maklumat perisikan mengenai aktiviti penyeludupan barangan kawalan seperti minyak masak, petrol, diesel serta gandum di sempadan Malaysia-Thailand.

Beliau berkata, bagi peringkat permulaan, anggota ATM akan diberi pendedahan mengenai perundangan dan akta yang membabitkan kepenggunaan, bidang kuasa KPDNKK dan garis panduan serahan kes.

"Premis perniagaan di negara ini semakin bertambah sehingga menyukarkan anggota penguat kuasa melaksanakan tugasan di semua lokasi bagi menangani isu berbangkit secara serentak.

"Justeru, kerjasama secara NBOS ini diperlukan bagi membolehkan anggota penguat kuasa melakukan pemantauan dan operasi secara berkesan melalui perkongsian maklumat dengan ATM mengenai kegiatan penyeludupan di kawasan sempadan.

"ATM juga boleh melakukan tangkapan mana-mana individu yang melakukan penyeludupan sebelum diserahkan kepada pegawai KPDNKK bagi membolehkan tindakan perundangan di bawah bidang kuasa KPDNKK diambil," katanya.

Beliau berkata demikian dalam sidang media selepas Taklimat Perundangan Akta-Akta yang dikuatkuasakan oleh KPDNKK kepada ATM.

Turut hadir, Panglima 8 Briged, Brigadier Jeneral Nazari Abd Hadi, dan Pengarah KPDNKK Kelantan, Datuk Abd Ghani Harun.

Sementara itu, Nazari berkata, keselamatan di sempadan Malaysia-Thailand adalah membabitkan tanggungjawab bersama bagi semua agensi, bukan satu pihak saja.

Sehubungan itu, katanya, menerusi NBOS, anggota ATM bukan lagi melakukan tugas kawalan secara bersendirian, sebaliknya secara berkumpulan dengan pihak KPDNKK bagi menangani isu rentas sempadan membabitkan barangan kawalan. - BHOnline
KPDNKK, ATM Bergabung Banteras Penyeludupan KPDNKK, ATM Bergabung Banteras Penyeludupan Reviewed by Azmin on July 26, 2017 Rating: 5

No comments:

ads 728x90 B
Powered by Blogger.