KUALA LUMPUR – Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI) menggesa syarikat teknologi maklumat di negara ini supaya memanfaatkan dana yang diperuntukkan melalui Smart Challenge Fund (SMART Fund).
Timbalan Menterinya, Datuk Dr Abu Bakar Mohamad Diah, berkata kerajaan menyediakan dana itu untuk membantu syarikat mengemukakan idea inovatif atau menjalankan penyelidikan bagi membanteras serangan siber di negara ini.
Katanya, tujuan dana tersebut diwujudkan juga adalah untuk mendorong syarikat dan penyelidik memenuhi keperluan strategik yang dikenal pasti seperti penciptaan teknologi, proses dan produk baharu yang mampu menyelesaikan masalah negara, di samping mengenal pasti penyelesaian jangka panjang yang perlu dihasilkan.
“Kerajaan memandang serius isu keselamatan siber. Walaupun keselamatan siber kini terletak di bawah Majlis Keselamatan Negara, tetapi MOSTI tetap menyediakan dana bagi membiayai penyelidikan keselamatan siber dan untuk tujuan inovasi.
“Melalui skim ini, kerajaan akan melabur dalam prapengkomersialan teknologi, proses dan produk yang bersifat amat inovatif serta boleh diterjemahkan menjadi hasil yang boleh dipasarkan bagi menggalakkan pertumbuhan ekonomi serta untuk manfaat masyarakat,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan Open Web Application Security Project (OWASP) Malaysia Meetup 2017 di Auditorium Microsoft Malaysia di sini hari ini.
Abu Bakar berkata kesemua projek yang dicadangkan perlulah direka bentuk dengan kemas, sah dari segi sains dan berdaya saing dengan teknologi serta kerja penyelidikan sedia ada.
Kira-kira 80 pakar keselamatan siber dan teknologi maklumat menyertai OWASP Malaysia Meetup untuk membincangkan isu semasa mengenai keselamatan siber.
OWASP adalah pertubuhan amal yang memberi fokus terhadap usaha menambah baik keselamatan perisian aplikasi di negara ini. – BERNAMA
Syarikat IT Digesa Manfaatkan Dana MOSTI
Reviewed by Azmin
on
July 19, 2017
Rating:
Reviewed by Azmin
on
July 19, 2017
Rating:

No comments: