Seo Services

`Datuk' Dalangi Sindiket Along



KUALA LUMPUR: Seorang lelaki bergelar 'Datuk' yang mendalangi sindiket along antara 35 ditahan Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK) Bukit Aman dalam serbuan di 11 lokasi Kedah, Johor, Melaka dan ibu negara, berakhir semalam.

Serbuan bermula 21 Ogos lalu itu dilakukan hasil maklumat dan risikan, susulan 18 laporan yang diterima daripada mangsa di seluruh negara membabitkan kerugian RM1.6 juta.

Timbalan Pengarah (Risikan/Operasi) JSJK Bukit Aman, Senior Asisten Komisioner Mohd Sakri Arifin, berkata semua suspek, termasuk lapan wanita berusia 15 tahun hingga 44 tahun itu menganggotai dua sindiket berbeza, namun menjalankan kegiatan sama iaitu menawarkan pinjaman wang tanpa lesen kepada orang awam.

Katanya, selain pinjaman, sindiket yang aktif sejak dua tahun lalu itu turut dikesan menjalankan kegiatan penipuan pinjaman tidak wujud.

"Daripada 11 lokasi yang diserbu, empat adalah rumah yang dijadikan sebagai pusat operasi iaitu dua di ibu negara dan masing-masing satu di Johor dan Melaka.

"Tangkapan ke atas Datuk berusia 40 tahun itu dibuat di Johor. Bagaimanapun, siasatan masih dilakukan sama ada suspek mempunyai pekerjaan lain," katanya pada sidang media di Menara 238 Jalan Tun Razak, di sini, hari ini.

Mohd Sakri berkata, dalam serbuan itu, pihaknya turut merampas 70 unit telefon bimbit; 34 keping kad ATM pelbagai bank; enam buah komputer dan komputer riba; 10 keping cek; empat buku bank, pelbagai dokumen; wang tunai RM1,393 serta 14 buah kenderaan yang digunakan suspek bagi menjalankan kegiatan mereka.

Katanya, modus operandi digunakan suspek adalah dengan mengedarkan risalah di media sosial atau menampal iklan secara haram di lokasi tertentu.

"Mangsa yang ingin membuat pinjaman pula akan dikenakan syarat ketat dengan memotong 10 peratus daripada jumlah dipinjam, manakala faedah dikenakan pula antara 10 peratus hingga 15 peratus dan perlu dibayar dalam tempoh dua minggu.

"Sekiranya gagal membuat bayaran balik, sindiket akan bertindak mengganggu mangsa, termasuk membaling cat selain mengugut untuk mencederakan mereka," katanya.

Beliau berkata, semua tangkapan direman selama empat hari bagi membolehkan siasatan lanjut dijalankan mengikut Seksyen 5(2) dan Seksyen 29AA Akta Pemberi Pinjaman Wang 1951 serta Seksyen 420 Kanun Keseksaan kerana menipu.

Selain itu, suspek juga akan dikenakan tindakan mengikut Akta Pencegahan Jenayah (POCA) 1959 , Seksyen 427 dan Seksyen 506 Kanun Keseksaan, bergantung pada hasil siasatan. - BHonline
`Datuk' Dalangi Sindiket Along `Datuk' Dalangi Sindiket Along Reviewed by uMieySurianie on August 25, 2017 Rating: 5

No comments:

ads 728x90 B
Powered by Blogger.