KUALA LUMPUR — Sistem rakaman kamera litar tertutup (CCTV) dengan kemampuan mengeluarkan suara antara teknologi terbaharu yang menjadi tumpuan di Home Design and Interior Exhibition (Homedec) di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur (KLCC) di sini.
Disifatkan sebagai teknologi kamera keselamatan pertama seumpamanya di Malaysia, Eksekutif Jualan dan Pemasaran Panther 911, Kasing Chan berkata, CCTV HIK Vision itu dilengkapi pembesar suara yang boleh mengeluarkan arahan yang dipantau 24 jam oleh petugas dari enam pusat kawalan seluruh negara.
Beliau berkata, CCTV berkapasiti 1.3 megapixel berserta ciri infra merah untuk mengesan di waktu malam, turut dilengkapi teknologi ‘gerakan tiga baris’ yang berfungsi mengesan pergerakan manusia serta berhubung secara ‘masa nyata’ dengan balai polis seluruh negara.
“Apabila CCTV mengesan sebarang pergerakan manusia, pusat kawalan akan menghantar pesanan kepada pemilik premis menerusi satu aplikasi khas bernama IVMS bagi memaklumkan terdapat ancaman di kediaman mereka serta melaporkan kepada pihak polis.
“CCTV akan ‘bersuara’ kepada penceroboh dengan petugas di pusat kawalan mengeluarkan amaran seperti ‘berhenti, anda sedang diperhatikan’, ‘pencuri, anda akan ditangkap’ atau cara lain dengan membunyikan siren polis,” katanya kepada Bernama semalam.
Beliau ditemui pada Homedec 2017 yang bermula semalam sehingga 22 Oktober untuk fasa pertama sebelum sambungan fasa kedua pada 26 hingga 29 Oktober di lokasi sama.
Chan berkata, CCTV keluaran syarikat tersebut mempunyai kira-kira 4,000 pelanggan meliputi pengguna kediaman persendirian, premis perniagaan serta bangunan keagamaan.
Katanya, kemampuan CCTV HIK terbukti apabila berjaya menggagalkan beberapa cubaan pecah rumah dan kecurian malah membantu pihak polis menangkap penjenayah di beberapa negeri di negara ini.
“Antaranya kejayaan menangkap pencuri tabung derma sebuah masjid di Mantin, Negeri Sembilan dan perkara ini dikongsikan sendiri oleh pihak pengurusan masjid itu.
“Ketika CCTV mengesan kehadiran penjenayah, pusat kawalan terus mengeluarkan amaran dan pada masa sama melaporkan kepada balai polis berhampiran sehingga menyebabkan pesalah tidak sempat melarikan diri seterusnya ditangkap,” katanya.
Pemasangan CCTV HIK Vision keluaran Panther 911 berharga serendah RM500 dengan yuran bulanan RM132 mengikut jenis pakej dan unit kamera yang digunakan. — Bernama
CCTV Boleh Bersuara Inovasi Baru Cegah Jenayah
Reviewed by Unknown
on
October 20, 2017
Rating:
No comments: