COX’S BAZAR (Bangladesh) – Sewaktu Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi melawat kem pelarian Rohingya di sini Isnin lalu, jumlah wartawan yang hadir membuat liputan program itu agak mengejutkan penulis.
Ini kerana selain wakil media negara, lawatan orang nombor dua Malaysia itu turut mendapat perhatian media tempatan dan antarabangsa. Malah ada beberapa negara ASEAN menghantar wakil media utama mereka.
Seorang pegawai Suruhanjaya Tinggi Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu bagi Pelarian (UNHCR) di Kem Kutupalong berpendapat kehadiran sebegitu ramai wakil media mungkin disebabkan tidak ramai pemimpin utama sesebuah negara yang akan turun sendiri melihat keadaan kem pelarian Rohingya, apatah lagi menghantar pemimpin nombor dua negara seperti Malaysia.
Kehadiran Ahmad Zahid itu adalah untuk melihat sendiri keadaan pelarian selain memberi mesej jelas kepada dunia bahawa Malaysia serius tentang isu berkenaan dan mahukan penyelesaian jangka panjang terhadap penindasan etnik tersebut di wilayah Rakhine, Myanmar yang sehingga kini tiada penghujungnya.
Dalam kunjungan sehari itu, Ahmad Zahid bukan sahaja dapat bertemu sendiri dengan pelarian tetapi juga melihat keadaan kem mereka yang beliau sifatkan paling daif berbanding kem pelarian yang pernah dilawatinya selain melawat operasi kemudahan yang disediakan seperti sekolah dan klinik.
Sebaik selesai lawatan, beliau mengumumkan Malaysia akan membina hospital medan bagi membolehkan lebih ramai pelarian mendapat rawatan kesihatan yang lebih baik.
Hospital medan bernilai RM3.5 juta itu akan dibina oleh Kor Perubatan Angkatan Tentera Malaysia dengan dibantu Kementerian Kesihatan dalam tempoh sebulan, sebaik memenuhi prosedur yang ditetapkan kerajaan Bangladesh.
Menteri Dalam Negeri itu juga mahu Majlis Keselamatan Negara (MKN) menjadi penyelaras kepada bantuan kemanusiaan yang disalurkan dari Malaysia, baik daripada kerajaan, pertubuhan bukan kerajaan (NGO), organisasi media ataupun individu.
Ini katanya bagi memastikan bantuan tidak terhad kepada makanan dan perubatan semata sebaliknya turut merangkumi barang lain yang diperlukan oleh pelarian Rohingya terbabit.
“Dari segi makanan saya tengok World Food Programme United Nations telah ada, dari segi perubatan IOM (Pertubuhan Antarabangsa bagi Migran ) telah ada. Jadi MKN boleh fikirkan bentuk bantuan lain yang diperlukan,” katanya pada sidang media di Kem Kutupalong.
Selain itu, Ahmad Zahid turut mengutarakan kemungkinan menempatkan seorang atase kemanusiaan dan kebajikan daripada MKN di Bangladesh bagi melaksanakan komitmen kerajaan membantu etnik Rohingya di kem pelarian.
Cadangan itu katanya akan beliau usulkan kepada jemaah menteri pada mesyuarat kabinet minggu depan supaya ia dapat dilakukan segera.
Ini bagi menjamin semua bantuan akan sampai kepada sasarannya selain memastikan jenis bantuan yang benar-benar diperlukan pelarian terbabit. Apabila dilaksanakan nanti, ia merupakan kali pertama Malaysia menempatkan atase kemanusiaan dan kebajikan di mana-mana negara.
Seorang pelarian, Musa Khalil, 27, berkata lawatan Ahmad Zahid menarik perhatian penghuni kem itu kerana Malaysia adalah negara yang sering membantu pelarian di kem-kem di sini dengan bantuan diterima setiap hari.
“Ramai antara kami di sini yang berhasrat untuk mencari pekerjaan di Malaysia tetapi tidak sedar bahawa sebagai pelarian, kami tidak boleh bekerja secara sah di Malaysia,” katanya yang boleh berbahasa Melayu kerana pernah bekerja di Malaysia antara 2009 dan 2014.
Krisis kemanusiaan yang semakin memuncak di wilayah Rakhine mendorong lebih ramai etnik Rohingya melarikan diri ke Bangladesh setiap hari, sekali gus mewujudkan lebih banyak kem.
Sehingga kini jumlah sebenar pelarian tidak dapat dipastikan tetapi banyak pihak mendakwa ia melebihi sejuta orang.
Untuk rekod, hanya terdapat dua kem rasmi bagi pelarian Rohingya iaitu Kutupalong dan Nayapara tetapi berpuluh-puluh lagi kem sementara diwujudkan oleh pelarian sendiri dan angka itu bertambah dari hari ke hari. – BERNAMA
Lawatan TPM Ke Kem Rohingya Bukti Keprihatinan M’sia
Reviewed by uMieySurianie
on
October 20, 2017
Rating:
No comments: