Seo Services

Taufan Lan Ragut Dua Nyawa



TOKYO – Dua maut dan lebih 10 lagi cedera apabila tengah Jepun dilanda taufan kuat awal hari ini, beberapa jam selepas jutaan rakyat negara bergelut untuk mengundi pada hari pilihan raya umum.

Mangsa pertama ialah lelaki yang maut apabila struktur sementara menimpanya di tapak pembinaan di Fukuoka.

Seorang lagi warga tua berusia 70 tahun ditemui mati selepas menyelam ke dalam laut untuk mendapatkan tali dari satu lagi kapal ketika cuba menyelamatkan diri dari botnya yang bermasalah.

Pihak berkuasa menasihatkan ribuan penduduk di kawasan pantai atau berhampiran sungai supaya berpindah ke pusat perlindungan ketika Taufan Lan, yang digambarkan sebagai ‘amat besar dan amat kuat’, membadai Shizouka di barat daya Tokyo pada jam 3 pagi ini.

Ribut itu, yang sudah menyebabkan hujan lebat di kebanyakan tempat di negara itu hujung minggu lalu, mengumpul kekuatan angin sehingga 198 kilometer sejam, kata agensi kaji cuaca.

Ia bergerak ke timur laut ketika angin agak perlahan dan mungkin melanda Tokyo dan wilayah sekitarnya pada waktu puncak pagi ini.

Pengendali kereta api di Tokyo memutuskan untuk membatalkan beberapa perkhidmatan ekspres pagi ini dan sebahagian kereta api laju ‘Shinkansen’ terkandas di tengah Jepun yang membawa penumpang tengah malam tadi apabila taufan berkenaan menyebabkan bekalan elektrik terputus, lapor stesen penyiar NHK.

Hampir 300 penerbangan yang dijadualkan hari ini dibatalkan, menurut NHK, selepas angin kuat memaksa syarikat penerbangan membatalkan lebih 500 penerbangan semalam.

Beberapa perkhidmatan feri di barat Jepun juga dibatalkan. – AFP/BH ONLINE
Taufan Lan Ragut Dua Nyawa Taufan Lan Ragut Dua Nyawa Reviewed by uMieySurianie on October 23, 2017 Rating: 5

No comments:

ads 728x90 B
Powered by Blogger.