Pada awal 2000-an, tayar sotong atau dipanggil juga tayar kecik atau tayar basikal pada motosikal pernah menjadi popular. Ia popular mungkin kerana nampak lawa di mata peminat-peminat moto, namun sedarkah mereka bahawa tayar sotong ini sebenarnya berbahaya kepada penunggang dan pengguna jalan raya yang lain?
Mana tidaknya, kuasa membrek memerlukan permukaan tayar besar ke atas jalan, namun sebaliknya bagi tayar sotong ini. Sebab itulah kerajaan mengharamkan penggunaan tayar sotong ini.
Hari ini, trend tayar sotong ini dilihat kembali popular di kalangan anak-anak muda yang menunggang motosikal. Sebelum ianya terlambat, biarlah penggunaan tayar sotong ini dikawal dan tujuan penggunaannya. Ikuti laporan Sorot minggu ini mengenai tayar sotong.
Patah tangan angkara tayar sotong
Disebabkan obses terhadap tayar sotong, seorang ‘mat motor’ menerima nasib malang akibat terbabas sehingga menyebabkan tangan kirinya patah.
Dia yang hanya mahu dikenali sebagai Yusri, 25, berkata, sebelum kejadian itu berlaku, dia bersama rakan-rakannya sedang berkonvoi di kawasan kampungnya di Pahang.
“Awalnya tiada apa yang berlaku. Konvoi kami hanya pusing-pusing kampung. Itulah aktiviti petang kami.
“Bagaimanapun, ketika di selekoh, saya cuba untuk layan conner, tetapi terbabas sehingga menyebabkan tangan kiri saya patah. Itu kenangan yang saya tidak akan lupakan,” katanya.
Akuinya, tayar sotong yang digunakan pada motosikal jenis Yamaha 125 adalah untuk mengurangkan bebanan ketika menunggangnya.
“Kalau berlumba di kampung, motosikal akan lebih mudah memecut, tetapi risiko kita kena tanggung sendiri.
“Kalau tayar meletup, anda boleh kemalangan sebab ciri-ciri tayar sotong tidak selamat untuk penunggangnya,” katanya.
Tayar sotong untuk lumba haram
“Saya guna tayar sotong untuk berlumba di kampung bersama rakan-rakan”.
Demikian pengakuan seorang bekas mat motor dikenali, Fizi, 29, ketika berkongsi sebab dia menggunakan tayar sotong.
Katanya, faktor utama dia memilih tayar sotong untuk berlumba haram adalah kerana ia mengurangkan bebanan motosikal.
“Bila memecut, bebanan motosikal akan berkurangan. Itu faktor utama mengapa saya menggunakan tayar sotong.
“Bahaya? Sudah tentu dan risikonya anda perlu tanggung sendiri kerana cengkamannya kurang terutama ketika jalan basah,” katanya.
Bagaimanapun katanya, tayar sotong tidak sesuai untuk perjalanan jauh seperti berkonvoi bersama kelab motosikal.
“Kalau saya sertai konvoi, saya akan tukar tayar. Tidak sesuai untuk perjalanan jauh kerana tayar mudah meletup,” katanya.
Fizi yang kini merupakan seorang pensyarah berkata, pada hari ini dia hanya menggunakan motosikal dengan tayar yang memenuhi ciri-ciri keselamatan.
“Lumba? Tayar sotong? Semua saya sudah tinggalkan. Saya sudah berkeluarga dan memiliki dua orang anak,” katanya.
Guna untuk cantikkan motor
Setiap penunggang motosikal mempunyai citarasa berbeza untuk menggunakan tayar sotong.
Ada yang menggunakannya untuk berlumba di jalanan dan ada juga menggunakannya untuk kegunaan harian.
Namun berbeza dengan seorang pemuda ini di mana dia menggunakan tayar sotong untuk mencantikkan motosikal jenis Yamaha Ego miliknya.
“Saya hanya pakai untuk memberi kelainan pada motosikal saya. Saya cantikkan motor itu dan saya masuk pertandingan motor tercantik.
“Cuma rezeki nak menang itu tiada. Saya tidak kisah janji saya puas,” katanya yang hanya mahu dikenali sebagai Ajai, 26.
Menurut Ajai, penggunaan tayar sotong ini juga memberi kesulitan buat penggunanya seperti melibatkan kos yang tinggi.
“Harga tayar ini tidak mahal tetapi kalau guna, boleh pancit dalam tiga hingga empat kali sebulan.
“Bila dah pancit perlu tukar tiub segera kerana kalau teruskan pemanduan, ia akan memberi kerosakan kepada komponen motosikal yang lain,” katanya.
Tayar Sotong Jadi Trend Semula?
Reviewed by Unknown
on
October 23, 2017
Rating:
aku pernah pakai tayar ni, memang senang-senang rxz boleh dapat 200km sejam, berbanding tayar biasa 165km/sj
ReplyDelete