Seo Services

Saintis Optimis Temui Satu Lagi Lohong Hitam

KUALA LUMPUR: Saintis astronomi, Dr Nur Adlyka Ainul Annuar optimis satu lagi lohong hitam supermasif atau raksasa akan ditemui dalam galaksi yang tidak jauh dari galaksi Bumi, Bima Sakti.

Beliau berkata, berdasarkan kajiannya ketika ini, keputusan untuk melihat satu lagi lohong hitam menerusi cerapan teleskop Agensi Aeronautik dan Pentadbiran Angkasa Lepas Amerika Syarikat (NASA) nampak positif.

Katanya, jangkaan saiznya juga hampir sama seperti penemuan pertamanya sebelum ini, iaitu di galaksi NGC 1448.

"Berdasarkan data galaksi yang akan dicerap oleh teleskop NASA, saya agak positif galaksi itu akan menemui satu lagi lohong hitam. Saya rasa ia sama besar (dengan lohong hitam yang ditemuinya sebelum ini)," katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui media selepas menerima Anugerah Maulidur Rasul Peringkat Kebangsaan 2017 sempena sambutan Maulidur Rasul Peringkat Kebangsaan, yang berlangsung di Masjid Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur di sini, malam tadi.

Dr Nur Adlyka, 27, pensyarah Pusat Pengajian Fizik Gunaan Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), menjelaskan untuk memahami kesan lohong hitam kepada Bumi, individu harus memahami terlebih dulu sifatnya.

"Dalam galaksi kita ada lohong hitam, untuk faham lohong itu kita kena faham sifatnya dan cara memahaminya kita kena banyak mengkaji lohong supaya kita dapat buat satu statistik dan ia akan membantu kita memahami apa impak lohong kepada galaksi kita," katanya.

Diminta mengulas anugerah yang diterima itu, beliau berkata ia satu penghormatan kepadanya dan berharap pelajar akan menceburi bidang kajian astronomi.

Sebelum ini, NASA melaporkan penemuan satu lohong hitam supermasif atau raksasa dalam galaksi NGC 1448 menerusi kajian oleh Nur Adlyka dan pasukannya.

Lohong hitam ialah satu ruang di angkasa lepas yang mempunyai kekuatan graviti amat kuat sehinggakan segala jirim atau material berhampiran dengannya akan disedut masuk, termasuk cahaya.

Ini menyebabkan ia tidak dapat dilihat dalam gelombang cahaya tampak, namun ia boleh dikesan melalui satelit atau teleskop khas yang berada di ruang angkasa.

Istilah lohong hitam hanya terbit pada tahun 1967 oleh ahli Fizik Amerika Syarikat (AS), Prof John Wheeler. Bagaimanapun, asasnya ditemui melalui teori kerelatifan yang dicipta Albert Einstein pada 1915.

Sehingga kini, masih banyak misteri mengenainya yang belum dirungkai. - BHOnline
Saintis Optimis Temui Satu Lagi Lohong Hitam Saintis Optimis Temui Satu Lagi Lohong Hitam Reviewed by Azmin on December 01, 2017 Rating: 5

No comments:

ads 728x90 B
Powered by Blogger.