KUCHING : Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) Sarawak dengan kerjasama Jabatan Pendidikan Negeri Sarawak (JPNS) merancang untuk melaksanakan kira-kira 50 program bersepadu tahun ini dalam usaha berterusan menangani isu kewarganegaraan terutama dalam kalangan penduduk pedalaman di negeri ini.
Menteri Kebajikan, Kesejahteraan Komuniti, Wanita, Keluarga dan Pembangunan Kanak-kanak Sarawak, Datuk Seri Fatimah Abdullah berkata kawasan yang menjadi sasaran Pasukan Petugas Khas (PPK) yang dianggotai kedua-dua jabatan itu adalah di pedalaman Kapit di bahagian tengah Sarawak, dan Baram di utara negeri.
Beliau berkata ia termasuk kunjungan ke sekolah-sekolah yang melibatkan murid-murid yang tidak mempunyai dokumen pengenalan diri di kawasan berkenaan, kerana umum tahu bahawa lokasi kedua-dua kawasan itu agak terpencil dan sukar untuk diakses, menyukarkan penduduknya hadir ke mana-mana pejabat JPN bagi tujuan pendaftaran.
"Melalui Unit Khas Bergerak PPK, kita sedaya upaya memberikan perkhidmatan yang terbaik dalam membantu dan menyelesaikan masalah dokumen pengenalan diri," katanya dalam sidang media selepas mempengerusikan Mesyuarat Jawatankuasa Khas Kewarganegaraan di Bilik Perbincangan 1, Bangunan Baitulmakmur di sini, hari ini.
Fatimah yang juga Pengerusi Jawatankuasa Khas Status Kewarganegaraan Di Bawah Perkara 15A, Peringkat Negeri Sarawak berkata isu kewarganegaraan bukanlah sesuatu yang mudah untuk diselesaikan jika penduduk peribumi masih kurang kesedaran tentang pentingnya pendaftaran dan dokumen pengenalan diri. - Bernama
JPN Sarawak Rancang 50 Program Bersepadu Tangani Isu Kewarganegaraan
Reviewed by Unknown
on
January 17, 2018
Rating:
Reviewed by Unknown
on
January 17, 2018
Rating:

No comments: