Seo Services

Jumlah Usahawan Tani, Agro-Makanan Wanita Akan Ditingkatkan


SERDANG – Meningkatkan jumlah usahawan tani dan agro-makanan wanita dan menjadikan mereka lebih berdikari dari segi kewangan dan ekonomi melalui bidang pertanian adalah antara visi Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani bagi 2018.

Menterinya Datuk Seri Ahmad Shabery Cheek berkata visi itu adalah selaras dengan komitmen kerajaan yang menjadikan 2018 sebagai Tahun Memperkasa Wanita seperti yang diumumkan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak ketika membentangkan Bajet 2018.

“Wanita akan diperkasakan dalam bidang pertanian. Saya menyeru golongan wanita merebut peluang di kementerian untuk meningkatkan taraf ekonomi,” kata Ahmad Shabery kepada pemberita selepas menyampaikan amanatnya kepada lebih 2,000 warga kerja kementerian di Taman Ekspo Pertanian Malaysia di sini hari ini.

Ahmad Shabery berkata kementerian bercadang mewujudkan pangkalan data yang lebih lengkap mengenai usahawan pertanian wanita.

Agensi pembiayaan di bawah kementerian seperti Agrobank, Tekun Nasional dan Unit Agropreneur Muda akan memperuntukkan 50 peratus daripada dana mereka kepada golongan wanita, katanya.

Dalam amanatnya, Ahmad Shabery mahu melihat Pameran Antarabangsa Pertanian, Hortikultur dan Agro Pelancongan Malaysia (MAHA) 2018 sebagai yang terhebat berbanding tahun-tahun sebelumnya.

Beliau turut mengingatkan warga kementerian supaya peka dengan pelbagai perubahan yang berlaku di seluruh dunia ekoran pembangunan teknologi komunikasi dan maklumat terutamanya dalam dunia pemasaran.

“Namun, dalam meniti arus perubahan, jangan lupa dua tanggungjawab asas kita kepada rakyat iaitu memastikan bekalan makanan negara mencukupi dan hasil pertanian dijual harga yang mampu dibeli oleh rakyat,” katanya. – BERNAMA
Jumlah Usahawan Tani, Agro-Makanan Wanita Akan Ditingkatkan Jumlah Usahawan Tani, Agro-Makanan Wanita Akan Ditingkatkan Reviewed by Unknown on January 26, 2018 Rating: 5

No comments:

ads 728x90 B
Powered by Blogger.