Seo Services

Pelabur Asing Beli RM10.33b Saham Tempatan

 KUALA LUMPUR: Pasaran saham tempatan menerima aliran masuk kira-kira RM10.33 bilion dana asing tahun lalu, demikian menurut MIDF Amanah Investment Bank Bhd Research.

Penganalisisnya, Adam M Rahim, berkata jumlah yang bersamaan dengan AS$2.36 bilion itu, mengimbangi 35 peratus daripada aliran keluar dana dari pasaran saham tempatan pada 2014 hingga 2016.

Beliau berkata, aliran masuk AS$2.36 bilion itu adalah yang tertinggi daripada empat pasaran saham Asia Tenggara yang dipantau oleh MIDF Research.

"Ia aliran masuk bersih tahunan pertama sejak pilihan raya tahun 2013 dan tertinggi sejak 2012, yang menyaksikan aliran masuk dana bersih AS$4.75 bilion.

"Dana asing menjadi pembeli yang agak agresif tahun lalu, yang menyaksikan Bursa Malaysia merekodkan suntikan bersih 35 daripada 52 minggu dagangan sepanjang tahun," katanya dalam laporan aliran dana mingguan MIDF Research.

Adam berkata, dari awal Februari hingga Jun 2017, dana asing adalah pembeli bersih selama 18 minggu berturut-turut, tempoh terpanjang pernah direkodkan sejak 2013 yang ketika itu menyaksikan 21 minggu berturut-turut dana asing menjadi pembeli bersih di Bursa Malaysia.

Katanya, hari paling cemerlang adalah pada 17 Mac, apabila pelabur asing menyuntik dana berjumlah RM816.1 juta, membolehkan indeks penanda aras melepasi paras 1,740 buat kali pertama sejak Jun 2015.

"Ia membolehkan aliran masuk bersih bulanan RM4.37 bilion pada Mac 2017, di tengah-tengah perkhabaran mengenai pilihan raya," katanya.

Bagaimanapun, Adam berkata, dari Ogos hingga November 2017, pelabur asing berundur dari Bursa Malaysia apabila mereka menjual saham berjumlah RM1.22 bilion sepanjang tempoh itu berikutan meningkatnya ketegangan di Semenanjung Korea.

Menariknya, beliau berkata, kemajuan ketara yang ditunjukkan oleh rancangan pengubahsuaian cukai Amerika Syarikat (AS) menyaksikan dana asing membuat kemunculan semula pada Disember 2017, dengan membuat pembelian bersih RM959.9 juta.

"Selepas pembelian besar-besaran pada 2017, kami berpandangan bahawa aliran masuk dana asing akan berterusan pada 2018, khususnya selepas Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14), kerana pelabur sukakan kepastian dalam pasaran.

"Sementara itu, kami juga berpendapat bahawa faktor luaran lain seperti pandangan pelabur asing terhadap dasar monetari luaran akan menyebabkan aliran keluar 'wang murah' yang digunakan oleh pelabur untuk memasuki pasaran sedang pesat membangun.

"Bagaimanapun, kami yakin impak sedemikian (aliran keluar 'wang murah') dijangka adalah minimum," katanya. - BHOnline
Pelabur Asing Beli RM10.33b Saham Tempatan Pelabur Asing Beli RM10.33b Saham Tempatan Reviewed by Azmin on January 03, 2018 Rating: 5

No comments:

ads 728x90 B
Powered by Blogger.