KUALA LUMPUR – Peguam kepada Datin Seri Rosmah Mansor membuat satu laporan polis berkenaan fitnah menerusi sebuah video di laman Youtube yang mengaitkan isteri perdana menteri dengan projek ikan sturgeon.
Laporan polis itu dibuat oleh peguam NoorHajran Mohd Noor daripada firma guaman Messrs. NoorHajran Mohd Noor di Ibu Pejabat Polis Daerah Sentul di sini hari ini.
NoorHajran dalam satu kenyataan berkata video yang dimuat naik pada 7 Mac bertajuk “Mazlan Aliman Amanah-Pecah Rahsia: Isteri Najib Razak di belakang Projek Ikan Sturgeon yg Lingkup” itu telah menjejaskan reputasi dan integriti anak guamnya.
Peguam itu berkata video yang dimuat naik oleh pemilik akaun dengan nama samaran ‘Cap Kapak’ itu memaparkan ucapan Pengerusi Persatuan Anak Peneroka FELDA (ANAK) merangkap Ahli Majlis Tertinggi Parti Amanah Negara (PAN), Mazlan Aliman yang secara terang menuduh anak guamnya terlibat dalam beberapa projek pelaburan yang dirancang dan dilaksanakan oleh FELDA termasuk projek penternakan ikan Sturgeon.
“Kenyataan Saudara Mazlan Aliman tersebut yang kononnya berdasarkan maklumat daripada seorang pegawai FELDA adalah satu tuduhan dan fitnah jahat yang dibuat tanpa adanya sebarang bukti serta asas yang kukuh.
“Tuduhan sebegini telah menyebabkan terjadinya buruk sangka di kalangan netizen lantas menjejaskan reputasi dan integriti anak guam saya,” katanya.
Kata NoorHajran, beliau dan anak guamnya menyerahkan kepada polis sepenuhnya untuk menjalankan siasatan dan mengambil tindakan sewajarnya mengikut peruntukan undang-undang yang sedia ada. – BERNAMA
Fitnah Projek Ikan Sturgeon: Peguam Rosmah Lapor Polis
Reviewed by uMieySurianie
on
March 19, 2018
Rating:
No comments: