Seo Services

Sistem Parol Malaysia Terbaik Di ASEAN – Ahmad Zahid


MELAKA: Pelaksanaan sistem parol oleh Jabatan Penjara kepada banduan terpilih meletakkan Malaysia sebagai antara negara terbaik di rantau ASEAN dengan mencatatkan kadar pa­ling rendah, hanya 0.4 peratus pengulangan jenayah oleh banduan tersebut.

Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi berkata, pelaksanaan sistem yang diperkenalkan sejak 2008 itu turut menyumbang kepada penurunan kadar indeks jenayah keseluruhan negara sehingga 53 peratus berbanding 47 peratus, tahun sebe­lumnya.

Menurut beliau, sistem di bawah anjakan Strategi Lautan Biru Kebangsaan (NBOS) itu me­nunjukkan usaha bersungguh-sungguh kerajaan untuk me­ngurangkan kadar jenayah secara berkesan serta boleh dibanggakan.

“Penjara bukan sekadar tempat untuk banduan menjalani hukuman sebaliknya usaha pemulihan perlu dilakukan seperti pelaksanaan Program Pemulihan Komuniti dan sebagainya agar banduan dengan baki hukuman kurang setahun ini dapat dilatih dari segi kemahiran sosial dan ekonomi,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam sidang akhbar selepas menghadiri perjumpaan bersama Kawasan Rukun Tetangga (KRT) dan Skim Rondaan Sukarela (SRS) Melaka di Ibu pejabat Polis Kontinjen (IPK) negeri di Bukit Beruang di sini, hari ini.

Yang turut hadir ialah Ketua Menteri, Datuk Seri Idris Haron; Setiausaha Kerajaan Negeri, Datuk Roslan Ibrahim; Ketua Polis negeri, Datuk Abd. Jalil Hassan dan Pengarah Jabatan Perpaduan Negara dan Integrasi Nasional Melaka, Mansor Mohd. Hashim.

Ahmad Zahid berkata, dengan latihan seperti itu, ramai bekas banduan berjaya mengubah nasib mereka selepas keluar dari penjara, antaranya menjadi pengusaha songket, peniaga roti dan sebagainya.

“Malah setiap tahun, hasil jualan produk yang dihasilkan banduan boleh mencecah sehingga RM38 juta dan secara tidak langsung membantu kos operasi dalam penjara selain mengurangkan ke­sesakan pusat tahanan berkenaan,” ujarnya.

Sementara itu, dalam majlis sama, beliau selaku Menteri Dalam Negeri mengumumkan peruntukan tambahan sebanyak RM100,000 kepada SRS Melaka dalam usaha memantapkan lagi pelaksanaan program tersebut di negeri ini.

Katanya, peruntukan tambahan itu bertujuan memberi motivasi kepada kira-kira 3,600 anggota peronda SRS yang komited melaksanakan aktiviti pemantauan dan pencegahan jenayah dalam komuniti ketiga-tiga daerah di Melaka.

“Saya amat prihatin dengan pelaksanaan program SRS ini dan mahu usaha berterusan termasuk kerjasama antara kementerian, agensi penguatkuasaan serta pertubuhan sukarela untuk mencapai objektif memenuhi kesejahteraan rakyat,” tambahnya.- Utusan Online
Sistem Parol Malaysia Terbaik Di ASEAN – Ahmad Zahid Sistem Parol Malaysia Terbaik Di ASEAN – Ahmad Zahid Reviewed by uMieySurianie on March 27, 2018 Rating: 5

No comments:

ads 728x90 B
Powered by Blogger.