Seo Services

Golongan Moderat Diseru Tangani Ekstremisme


KUALA LUMPUR – Malaysia menyeru golongan moderat dalam kalangan pengikut agama untuk memimpin dunia yang diancam oleh ekstremisme dan fundamentalisme.

Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata golongan berpendirian sederhana daripada semua agama ini harus menuntut semula agenda keamanan dan pragmatisme, serta menolak golongan ekstremis dan radikal.

“Ekstremisme dan radikalisme tidak mempunyai sokongan agama atau budaya. Mereka adalah penyakit yang boleh menyebabkan perpecahan dan kemusnahan kepada masyarakat.

“Dan, untuk alasan ini sahaja, para pengikut agama di seluruh dunia mesti tampil ke hadapan dan menyokong agenda kesederhanaan, kerana ia merupakan pendekatan terbaik dalam menangani masalah dan kekacauan yang disebabkan oleh pemikiran ekstrem dan pemahaman yang salah tentang prinsip agama,” katanya ketika berucap pada simposium antarabangsa mengenai ‘Kesederhanaan dalam Masyarakat Pelbagai Agama: Ke Arah Keamanan dan Harmoni’ di sini hari ini.

Turut hadir, Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Jamil Khir Baharom dan Pengerusi Eksekutif Yayasan Gerakan Kesederhanaan Global (GMMF) Datuk Dr Nasharudin Mat Isa.

Ahmad Zahid berkata mempromosikan keamanaan dan keharmonian menerusi kesederhanaan adalah langkah penting pertama ke arah agenda yang lebih besar, mengenai perpaduan dan keharmonian dalam masyarakat berbilang agama dan budaya.

“Langkah ke hadapan untuk kita semua dalam mencapai visi ini adalah dengan menggalakkan penerimaan, penghormatan dan kebersamaan di antara masyarakat berbeza agama supaya dunia menjadi tempat yang lebih baik untuk semua manusia,” katanya.

Malaysia telah membuka laluan apabila badan dunia, Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB) mengguna pakai resolusi kesederhanaan oleh Malaysia pada sesi ke-72 Perhimpunan Agungnya tahun lepas.

Timbalan perdana menteri berkata selain pengisytiharan 2019 sebagai Tahun Kesederhanaan Antarabangsa, resolusi itu juga merupakan satu usaha oleh Malaysia untuk memperluas suara kesederhanaan melalui promosi dialog, toleransi, pemahaman dan kerjasama.

Liga Muslim Sedunia juga katanya, mengiktiraf Malaysia sebagai satu contoh negara yang mengekalkan keharmonian dan memupuk pendekatan wassatiyah atau kesederhanaan. – BERNAMA
Golongan Moderat Diseru Tangani Ekstremisme Golongan Moderat Diseru Tangani Ekstremisme Reviewed by uMieySurianie on March 27, 2018 Rating: 5

No comments:

ads 728x90 B
Powered by Blogger.