Seo Services

Isu Bekalan Diesel Terputus Di Sekolah Di Sarawak Selesai Hari Ini


ISU bekalan diesel terputus di sekolah-sekolah di negeri ini terutamanya di Kapit, Song dan Belaga dijangka selesai hari ini.

Menteri Pendidikan, Sains dan Penyelidikan Teknologi, Dato Sri Michael Manyin Jawong berkata sehingga hari ini hampir kesemua sekolah yang bergantung kepada penjana kuasa untuk mendapatkan tenaga elektrik mendapatkan bekalan diesel masing-masing.

Beliau berkata ia selepas Kementerian Kewangan Malaysia membenarkan Pengarah Pendidikan Negeri memberi kuasa kepada Pegawai Pendidikan Daerah (PPD) melantik satu pembekal diesel untuk satu sekolah.

"Jabatan Pendidikan Negeri Sarawak telah menerima surat daripada Kementerian Kewangan Malaysia bertarikh 20 Jun 2018, yang memberi arahan kepada Pengarah Pendidikan Negeri memberi kuasa kepada Pegawai Pendidikan Daerah melantik satu pembekal untuk satu sekolah.

"Setiap pembekal boleh membekalkan sehingga RM20,000 diesel sebulan pada harga siling RM200,000 untuk tempoh 10 bulan bagi setiap sekolah," katanya pada sidang media di Kompleks Dewan Undangan Negeri (DUN) hari ini.

Justeru, beliau berharap dalam tempoh 10 bulan akan datang, tidak ada sekolah di Sarawak bergelap kerana kehabisan bekalan diesel untuk menghidupkan penjana kuasa.

Beliau menambah, sehingga ini terdapat 371 sekolah di seluruh Sarawak masih tidak dibekalkan dengan bekalan elektrik dan bergantung sepenuhnya kepada penjana kuasa.

Sebelum ini katanya, hanya 369 sekolah yang kebanyakannya di luar bandar disenaraikan dalam kategori itu, namun kini jumlah itu bertambah kepada 371 selepas Sekolah Kebangsaan (SK) Tegulang dan SK Metalun di Belaga tidak lagi mendapat bekalan elektrik.

Terdahulu, ketika membentangkan ucapan penggulungan bagi Kementerian Pendidikan, Sains dan Penyelidikan Teknologi, Manyin berkata pada 2017, kementeriannya mengemukakan kertas cadangan untuk 113 sekolah yang 10 kilometer dalam grid elektrik, disambungkan kepada grid dengan anggaran kos RM50 juta.

"Kementerian saya akan memanjangkan perkara ini kepada Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) untuk memastikan sekolah-sekolah ini dibekalkan dengan elektrik 24 jam.

"Dengan bekalan elektrik 24 jam ini, guru dan pelajar dalam belajar dalam suasana lebih selesa serta kondusif," katanya.

Manyin menambah, baki 258 sekolah lagi yang terletak jauh dari grid elektrik, lebih dari 20 km, kemungkinan penggunaan sistem hibrid solar dipertimbangkan. - Utusan Borneo


#IbuPertiwiku
Isu Bekalan Diesel Terputus Di Sekolah Di Sarawak Selesai Hari Ini  Isu Bekalan Diesel Terputus Di Sekolah Di Sarawak Selesai Hari Ini Reviewed by Admin on July 17, 2018 Rating: 5

No comments:

ads 728x90 B
Powered by Blogger.