Seo Services

Khemah hawa dingin untuk jemaah Malaysia ketika wukuf di Arafah


MAKKAH : Selepas program prapelepasan di imigresen tanah air , jemaah haji Malaysia bakal menikmati satu lagi kemudahan baru iaitu khemah berhawa dingin di Padang Arafah semasa wukuf bagi musim haji 1439 H ini .

Pengerusi Majlis Tertinggi Muassasah Asia Tenggara Muhammad Amin Hassan Andarqiri berkata Malaysia merupakan negara pertama di dunia bagi jemaah muassasah dibekalkan khemah berhawa dingin ketika wukuf .

“(Pada mulanya ) bagi tahun ini , kita telah membuat perjanjian dengan Tabung Haji untuk menaik taraf kemudahan kipas wap air kepada kipas penyejuk udara .

“ Namun kerana hubungan baik antara kedua - dua negara , kami memutuskan untuk menaik taraf kemudahan ini terus kepada pendingin hawa, khusus untuk jemaah haji Malaysia. Ini adalah jaminan daripada saya , ” katanya selepas majlis taaruf bersama pengurus 12 maktab penginapan jemaah Malaysia di sini , hari ini .

Turut hadir ketua rombongan haji Malaysia Datuk Seri Syed Salleh Abdul Rahman .

Muhammad Amin berkata pihaknya mengambil inisiatif memasang alat pendingin hawa berikutan cuaca panas yang dijangka mencecah 50 darjah Celcius di Arafah tahun ini semasa wukuf .

“ Saya sudah memaklumkan kepada Datuk Seri ( Syed Salleh ) untuk menasihati jemaah haji Malaysia membawa kain ihram tambahan ( semasa di Arafah ) kerana suhu di dalam khemah sangat sejuk , antara 24 - 25 darjah Celcius , ” katanya .

Malaysia dipilih bagi menjayakan projek perintis itu selepas mengadakan perbincangan dengan pengurusan Tabung Haji untuk menaik taraf kemudahan muasasah Malaysia di Padang Arafah .

Beliau berharap dengan adanya kemudahan itu jemaah Malaysia akan lebih selesa beribadah ketika wukuf di Arafah yang juga kemuncak kepada Rukun Islam kelima itu .

Muhammad Amin turut memuji disiplin tinggi yang dipamerkan oleh jemaah muassasah Malaysia sepanjang musim haji tahun lalu .

Katanya, pencapaian itu bukan sahaja membanggakan Tabung Haji dan Malaysia , tetapi turut diiktiraf kerajaan Arab Saudi sebagai jemaah yang wajar dicontohi oleh negara lain di dunia .

Syed Salleh berkata majlis itu merupakan satu majlis bagi pengurus maktab di Makkah berkenalan dengan lebih rapat sesama Muassasah Asia Tenggara sebelum operasi haji bermula .

“ Pada Ahad malam, kumpulan jemaah haji Malaysia yang pertama akan tiba di Makkah dari Madinah , menandakan permulaan operasi kita di sini .

“ Apabila keadaan bertambah sibuk nanti ( selepas ketibaan jemaah haji ) , persefahaman dari segi kerjasama dan sistem operasi kedua- dua belah pihak adalah amat penting dalam memastikan kelancaran operasi kita nanti, ” katanya . - Bernama
Khemah hawa dingin untuk jemaah Malaysia ketika wukuf di Arafah Khemah hawa dingin untuk jemaah Malaysia ketika wukuf di Arafah Reviewed by Admin on July 22, 2018 Rating: 5

No comments:

ads 728x90 B
Powered by Blogger.