MENTERI Muda Sarawak berang dengan kenyataan Menteri Pembangunan Luar Bandar, Rina Harun yang mendakwa rakyat Sarawak di kawasan luar bandar menolak pembinaan prasarana seperti jambatan.
Menteri Muda Pengangkutan Sarawak, Datuk Dr Jerip Susil secara sinis menyindir Rina dengan mempersoalkan penduduk kawasan mana di luar bandar yang begitu ‘bermurah hati’ menolak pembinaan prasarana, sedangkan projek terbabit cukup dinantikan golongan berkenaan.
“Saya tak tahu ke mana beliau (Rina) pergi dan di kawasan mana beliau ‘turun padang’. Selain itu, jambatan mana pula yang dikatakan menteri itu yang penduduk luar bandar menolaknya.
“Cukup menghairankan dan aneh penduduk di luar bandar menolak projek pembangunan di kawasan masing-masing, mustahil perkara sedemikian boleh berlaku. Ini alasan untuk mempergunakan orang luar bandar,” katanya yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Mambong, kepada NSTP, di Kuching hari ini.
Reaksi berkenaan timbul berikutan kenyataan Rina di Tumpat, Kelantan, hari ini, yang mendakwa ada penduduk di luar bandar di Bumi Kenyalang memaklumkan kepada beliau mereka tidak memerlukan kemudahan pembinaan jambatan walaupun projek terbabit sudah diluluskan.
Katanya, semua projek prasarana di bawah Kementerian Luar Bandar akan dikaji semula sama ada diteruskan atau dibatalkan, terutama projek mega.
Bagaimanapun, tidak dapat disahkan sama ada Rina yang juga Ahli Parlimen Titiwangsa itu pernah berkunjung ke negeri itu selepas mengangkat sumpah sebagai Menteri di Istana Negara pada 21 Mei lalu.
Sementara itu, Menteri Kebajikan, Kesejahteraan Komuniti, Wanita, Keluarga dan Pembangunan Kanak-kanak Sarawak, Datuk Seri Fatimah Abdullah, jelas kecewa dengan kenyataan Rina yang dianggap tidak wajar dengan kapasiti beliau sebagai menteri bertanggungjawab terhadap kawasan luar bandar.
“Kami wakil rakyat di kawasan luar bandar sangat memerlukan bina baharu atau baik pulih jambatan merentasi sungai, termasuk jalan titi bagi kawasan sering dilanda banjir, jalan penghubung desa dan rumah panjang. Bukan itu sahaja, projek naik taraf atau bina baharu rumah rakyat termiskin juga dinantikan,” katanya.
Beliau yang juga ADUN Dalat berkata, kenyataan umum mendakwa rakyat Sarawak menolak pembinaan jambatan perlu diperjelaskan secara terperinci.
“Sekiranya benar ada projek tidak diperlukan rakyat, ia ada satu keganjilan. Contohnya, kawasan saya sendiri mendapat 300 permohonan di bawah Skim Bekalan Elektrik Luar Bandar dan sepatutnya Menteri berkenaan melakukan proses pertemuan terlebih dulu bersama rakyat tempatan,” katanya. - MyMetro
Bila Rina datang Sarawak? - Dr Jerip
Reviewed by Admin
on
August 23, 2018
Rating:
No comments: