KUCHING: Timbalan Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna Chong Chieng Jen meminta Timbalan Ketua Menteri Datuk Amar Douglas Uggah Embas meletak jawatan sebagai pengerusi Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri (JPBN) Sarawak.
Ini kerana menurut Chong yang juga pengerusi Parti Tindakan Demokratik (DAP) Sarawak, situasi wabak rabies yang semakin buruk di negeri ini.
Tambahnya JPBN Sarawak tidak serius dalam menangani perkara tersebut dan memandang remeh masalah itu dengan mengeluarkan kenyataan wabak rabies di negeri ini masih terkawal.
“Jika jawatankuasa itu yang diketuai Uggah tidak serius, beliau seharusnya meletak jawatan supaya orang lain yang lebih berkelayakan serta serius mempengerusikan jawatankuasa berkenaan.
“Selama ini kita diberitahu bahawa situasi rabies (di Sarawak) terkawal tetapi sekarang, jelas sekali ia sudah tidak terkawal,” katanya kepada pemberita ketika ditemui pada satu majlis di Nirvana dekat sini semalam.
Chong yang juga Ahli Parlimen Stampin dan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kota Sentosa menambah, JPBN Sarawak tidak aktif, efisien atau serius menangani masalah tersebut.
Ujarnya, hakikatnya beberapa bulan lalu situasi penyakit rabies di Sarwak sudah tidak terkawal, tetapi Kerajaan Sarawak terus menyatakan keadaan terkawal dan banyak nyawa telah terkorban disebabkan ketidakseriusan dalam menangani perkara tersebut.
Menurut Chong, kenyataan Ketua Menteri Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg baru-baru ini, iaitu sumbangan dana yang perlahan daripada kerajaan persekutuan adalah bercanggah dengan apa yang dikatakan Uggah yang mengatakan Sarawak menerima ‘pengagihan vaksin yang stabil’ daripada kerajaan pusat.
“Kenyataan kedua-dua mereka ini saling bercanggah.
Jika pengagihan vaksin yang stabil, apa masalahnya? Kenapa aktiviti pemvaksinan yang dilakukan sejak wabak ini mula melanda Sarawak semakin berkurangan sehingga tiada khabar berita mengenai pemvaksinan percuma?
“Ia (pemvaksinan percuma) hanya mula dilakukan semula baru-baru ini apabila seorang lagi rakyat Sarawak menjadi korban rabies,” ujarnya.
Chong menambah, ramai nyawa telah terkorban disebabkan rabies yang tidak seharusnya berlaku tetapi disebabkan ketidakseriusan menangani masalah ini, ia terjadi.
Katanya, pada mulanya hanya lima kawasan diisytihar kawasan dijangkiti rabies dan jumlah itu terus meningkat (kepada 36) kawasan, dengan setiap satu dalam radius 10 kilometer.
“Bermula hanya beberapa kawasan, (kini) seluruh Kuching sudah menjadi kawasan rabies, tetapi mereka (JPBN Sarwak) masih mengatakan keadaan terkawal.
“Oleh itu, saya berharap Uggah akan meletak jawatan sebagai pengerusi JPBN Sarawak dan biarlah orang lain yang lebih serius menangani masalah ini mengambil alih,” tegasnya. - UTUSAN BORNEO
Chong Anggap Rabies Tidak Terkawal, Minta Uggah Letak Jawatan JPBN
Reviewed by Admin
on
August 27, 2018
Rating:

No comments: