BAYAN BARU - Ahli PKR diminta memilih timbalan presiden parti yang tidak akan bersaing dengan Datuk Seri Anwar Ibrahim untuk menjadi perdana menteri.
Memetik laporan Malaysiakini, calon Timbalan Presiden PKR, Rafizi Ramli berkata, orang kedua dalam parti mestilah seseorang yang memberikan komitmen penuh kepada perjuangan presiden partinya iaitu meneruskan agenda reformasi negara.
“Bukan kerja kita untuk menggulingkan kerjaya politik Anwar dan masa depannya,” kata Rafizi ketika berucap malam tadi.
Menurut Rafizi, apabila Anwar dilantik menjadi perdana menteri, beliau sepatutnya memberikan sepenuh tumpuan kepada tugasnya membantu rakyat dan bukannya mengawasi orang lain yang cuba mengganggu agendanya.
“Kalau ada orang yang asyik mengganggu semasa dia memandu, dia mungkin berdepan kemalangan. Jadi bila kita nak ke depan?” katanya.
Rafizi bakal berdepan dengan penyandang Timbalan Presiden PKR, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali dalam pemilihan parti bulan depan.
Anwar, menang tanpa bertanding bagi jawatan Presiden PKR dan beliau dikatakan akan menggantikan Tun Dr Mahathir Mohamad sebagai Perdana Menteri.
Namun, timbul spekulasi kononnya terdapat rancangan antara Mohamed Azmin dan Mahathir bagi menghalang Anwar menjadi Perdana Menteri. - Sinar Harian
Pilih timbalan yang tak saingi Anwar: Rafizi
Reviewed by Admin
on
August 27, 2018
Rating:

No comments: