Foto Bernama |
KUALA LUMPUR - Kerajaan akui sedar harga barangan masih tidak turun meskipun Cukai Barangan dan Perkhidmatan (GST) diletakkan pada kadar sifar.
Menteri Kewangan, Lim Guan Eng berkata perkara itu berlaku susulan kuasa monopoli ke atas barangan keperluan.
"Kerajaan sedar bahawa pengguna di Malaysia sekarang hanya jimat bayaran 6 peratus sahaja sedangkan beberapa barangan keperluan masih kekal di tahap yang sama.
"Sebabnya kuasa monopoli atas barangan perlu seperti gula dan beras. Sungguhpun 6 peratus GST telah dikeluarkan tapi harga masih berdegil tak mahu turun.
"Mereka hendak keuntungan yang mereka tetapkan dan gunakan kuasa monopoli untuk kekalkan harga. Dalam aspek ini satu kajian menyeluruh sedang dijalankan untuk menimbang perkara ini," katanya ketika menjawab soalan tambahan di Dewan Negara, hari ini.
Sebelumnya, Senator Datuk Sri Khairudin Samad membangkitkan soal harga barang yang masih kekal sedangkan 6 peratus GST telah dikeluarkan.
Mengulas lanjut, Guan Eng berkata perbezaan harga gula negara lain dengan Malaysia satu kali ganda.
"Harga gula diperingkat antarabangsa dalam lingkungan RM1.40 tapi harga runcit dan pasaran RM2.90, mengapa ia sekali ganda lebih besar?
"Inilah sebab masalah kuasa monopoli yang nampaknya tidak memberi kepentingan kepada rakyat," katanya.
Katanya, satu pengumuman akan dibuat Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Penggunaan, Datuk Saifuddin Nasution Ismail berhubung gula tidak lama lagi.
Menurut Guan Eng, selain kuasa monopoli harga yang tidak turun juga disebabkan oleh permintaan dan penawaran di peringkat antarabangsa di mana harga masih di tahap yang sama. - Sinar Harian
Harga masih degil tak nak turun - Guan Eng
Reviewed by Admin
on
August 20, 2018
Rating:
No comments: