Seo Services

Kutipan cukai hilang: LHDN sahkan dakwaan Guan Eng

foto The Star
KUALA LUMPUR - Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) Malaysia mengesahkan kenyataan Menteri Kewangan, Lim Guan Eng bahawa terdapat kekurangan penyaluran pindahan hasil cukai langsung yang dikutip ke dalam akaun amanah Tabung Bayaran Balik Cukai (TBBC).

Ketua Pegawai Eksekutifnya, Datuk Seri Sabin Samitah berkata, sehingga 31 Mei 2018, baki berjumlah RM16.04 bilion masih belum dibayar balik kepada pembayar cukai yang tertunggak sejak lebih enam tahun lepas

Menurutnya, ia membabitkan sebanyak 1,653,786 kes melibatkan syarikat, individu, persatuan dan yayasan.

“Penangguhan bayaran balik cukai terlebih bayar ini terutamanya disebabkan oleh peruntukan dalam TBBC yang tidak mencukupi,” katanya dalam satu kenyataan dikeluarkan LHDN, hari ini.

Tambah beliau, sebelum ini LHDN telah memaklumkan kedudukan baki kredit terkini tersebut kepada mantan Ketua Setiausaha Perbendaharaan Tan Sri Dr Mohd Irwan Serigar Abdullah.

Malah, badan itu juga mengeluarkan permohonan rasmi secara bertulis meminta tambahan peruntukan untuk dipindahkan ke TBBC agar bayaran balik dapat dilaksanakan.

“Sehingga 31 Julai 2018, LHDN telah berjaya memproses lebih daripada 90 peratus permohonan bayaran balik cukai tahun semasa bagi kategori pembayar cukai tersebut.

“Keutamaan pembayaran balik cukai terlebih bayar diberikan kepada pembayar cukai individu berdasarkan kedudukan kewangan tabung itu yang agak terhad.

“Bagi kategori pembayar cukai yang lain, bayaran balik masih tidak dapat dilaksanakan kerana tiada peruntukan tambahan untuk tabung tersebut,” jelasnya.

Dalam pada itu, LHDN akan memberikan pertimbangan kepada permohonan pembayar cukai yang mempunyai kredit cukai yang perlu dibayar balik oleh pihaknya.

“Kita boleh pertimbangkan untuk set-off cukai yang perlu dibayar bagi tahun semasa. Pembayar cukai hendaklah mengemukakan permohonan set-off tersebut kepada cawangan LHDNM yang mengendalikan fail cukai mereka.

“Bagi pembayar cukai yang tidak memohon untuk set-off, bayaran balik mereka akan diproses bergantung kepada peruntukan TBBC yang diluluskan oleh kerajaan dan kedudukan kewangan negara,” ujarnya.

Tambah Sabin lagi, pihaknya akan memberi kerjasama sepenuhnya kepada pasukan khas yang ditubuhkan Polis Diraja Malaysia (PDRM) bagi menyiasat laporan yang berkaitan dengan isu bayaran balik cukai pendapatan. - Sinar Harian
Kutipan cukai hilang: LHDN sahkan dakwaan Guan Eng Kutipan cukai hilang: LHDN sahkan dakwaan Guan Eng Reviewed by Admin on August 24, 2018 Rating: 5

No comments:

ads 728x90 B
Powered by Blogger.