Gambar Utusan Borneo |
SIBU: Seorang pemandu lori didakwa di Mahkamah Sesyen di sini, hari ini atas tuduhan membunuh dan merogol seorang pembantu pendaftaran di Jabatan Pendaftaran Negara pada 2 Ogos lalu.
Philip Uja, 42 didakwa membunuh dan juga didakwa merogol Nurnia Azalea Priscilla Edward, 26 antara pukul 8 malam pada 1 Ogos hingga 2.30 petang pada 2 Ogos dalam sebuah bilik di sebuah rumah tidak bernombor di Jalan Tiong Hua, di sini.
Tertuduh, didakwa mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh dan Seksyen 376 (4) Kanun Keseksaan kerana merogol, masing-masing memperuntukkan hukuman mati, jika sabit kesalahan.
Bagi tuduhan merogol, dia juga boleh dikenakan hukuman penjara 15 tahun tetapi tidak lebih daripada 30 tahun serta sebatan tidak lebih daripada 10 sebatan rotan.
Bagaimanapun, tiada pengakuan direkodkan daripada tertuduh, ketika dua pertuduhan dibacakan kepadanya di hadapan Hakim Caroline Bee Majanil.
Caroline kemudian menetapkan 2 Oktober untuk sebutan semula kes sementara menunggu laporan penuh bedah siasat dan kimia.
Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Muhammad Tajul Ariffin Musa manakala Philip tidak diwakili peguam.
Pada 2 Ogos lalu, mayat Nurnia Azalea ditemukan dengan tangan dan kakinya terikat ke belakang oleh rakan-rakannya di rumah sewanya di Jalan Tiong Hua pada pukul 2.30 petang, 2 Ogos.
Mereka pergi ke rumah sewanya selepas suami mangsa, 29, yang bekerja sebagai kerani di sebuah sekolah di Tatau meminta bantuan mencari dia selepas gagal menghubungi isterinya.
Keputusan bedah siasat menunjukkan bahawa mangsa mati akibat kecederaan di kepala akibat trauma kekerasan tumpul manakala tengkoraknya didapati retak dipercayai dihentak dengan benda tumpul selain terdapat kecederaan pada wajah dan lehernya. - Utusan Borneo
Pemandu lori didakwa bunuh dan rogol pembantu pendaftaran
Reviewed by Admin
on
August 21, 2018
Rating:
No comments: