MIRI: Parti Tindakan Demokratik (DAP) meletakkan sasaran untuk bertanding di 29 kerusi pada Pilihan Raya Negeri Ke-12 (PRN12) akan datang terma-suk empat kerusi iaitu Senadin, Piasau, Pujut dan Bukit Kota di utara negeri ini.
Setiausaha DAP Negeri yang juga Setiausaha Pakatan Harapan (PH) Sarawak Senator Alan Ling berkata, DAP yang kini merupakan parti pelbagai kaum sejak ditubuhkan 40 tahun lalu akan berjuang untuk semua kaum di negeri ini dengan adil dan saksama.
Sehubungan itu katanya, DAP kini dalam usaha melebarkan sayapnya ke beberapa kerusi lain untuk dipertaruhkan pada PRN12 kelak.
“Justeru, anda semua perlu bersedia untuk menghadapi PRN12 ini kelak untuk merampas kerusi yang pernah dimenangi (sebelum ini) dan memenangi kerusi-kerusi yang dipertandingkan bagi mengambil alih kuasa (daripada kerajaan negeri ketika ini).
“Oleh yang demikian, anda semua adalah jentera yang amat penting kepada PH untuk menawan kerusi-kerusi di kawasan luar bandar kelak, jika kita mahu mengambil ahli kuasa di peringkat negeri,” ujarnya.
Alan memberitahu demikian semasa merasmikan mesyuarat agung pertama DAP Cawangan Ulu Niah di Pekan Batu Niah, dekat sini kelmarin.
Beliau pada masa sama mengingatkan ahli-ahi parti itu untuk menggunakan platform yang betul membantu masyarakat setempat serta menganjurkan lebih banyak aktiviti bagi menyebar dan mendedahkan mengenai polisi-polisi kerajaan pusat yang membangun dan memajukan rakyat.
Beliau turut menegaskan penting bagi ahli DAP untuk menegakkan disiplin dan rendah hati semasa berkhidmat kepada rakyat, memandangkan DAP adalah parti yang ditubuhkan oleh rakyat dan berjuang untuk rakyat.
Dalam ucapannya, Alan juga mengingatkan ahli parti di peringkat akar umbi agar sentiasa memperbaiki diri dan meningkatkan pengetahuan serta membawa imej yang baik untuk parti sepanjang mereka melayani dan memberikan khidmat kepada masyarakat.
“Saya mengalu-alukan rakan-rakan di sini untuk terus bertahan dan teguh dengan perjuangan DAP, walaupun kita belum ditubuhkan secara rasmi tetapi kita masih boleh bekerja untuk membantu parti dalam usahanya menawan hati rakyat khususnya pengundi luar bandar,” tambahnya.
Dalam pada itu, katanya, kerajaan PH amat komited dalam pembaharuan institusi untuk menghapuskan isu-isu rasuah dan cawangan Ulu Niah yang kebanyakannya terdiri daripada ahli Dayak adalah bukti penerimaan DAP oleh masyarakat Dayak di negeri ini.
Ling yang juga Pengarah Lembaga Minyak Sawit Malaysia mendedahkan, cawangan DAP yang akan dihidupkan semula adalah di Limbang yang agak kurang aktif sebelum ini dan cawangan yang baharu ditubuhkan iaitu di Lawas. - UTUSAN BORNEO
DAP sasar bertanding di 29 kerusi pada PRN12
Reviewed by Admin
on
October 09, 2018
Rating:

No comments: