PUTRAJAYA - Bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak, bekas Ketua Setiausaha Perbendaharaan, Tan Sri Mohd Irwan Serigar Abdullah dan bekas Ketua Pengarah, Bahagian Penyelidikan, Jabatan Perdana Menteri, Datuk Hasanah Ab Hamid akan didakwa di mahkamah esok.
Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dalam satu kenyataan berkata, Najib dan Irwan Serigar akan dituduh bersama berhubung siasatan beberapa kes pecah amanah yang telah dilakukan oleh mereka melibatkan wang milik kerajaan.
"Najib dan Mohd Irwan Serigar akan hadir ke Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur pada 25 Oktober 2018, jam 7.30 pagi untuk pertuduhan tersebut," katanya dalam satu kenyataan.
Sementara itu, Hasanah pula akan didakwa dalam kes berasingan berhubung isu pecah amanah melibatkan wang milik kerajaan.
"Hasanah akan dituduh di Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur pada hari yang sama dan mengikut seksyen yang sama," katanya.
Sebelum itu, Najib dan Irwan Serigar diminta hadir ke SPRM dan bekas Perdana Menteri itu keluar selepas tiga jam memberi keterangan.
Manakala, Irwan Serigar masih belum keluar dari pejabat SPRM.
Sinar Harian sebelum ini melaporkan Najib dan Irwan dijangka didakwa bersama dengan sekurang-kurangnya enam pertuduhan pecah amanah membabitkan RM6 bilion.
Pertuduhan itu dikaitkan dengan skandal 1MDB, projek Laluan Kereta Api Pantai Timur (ECRL) serta 2 projek saluran paip gas di Semenanjung Malaysia dan Sabah.
Najib dan Irwan dijangka didakwa atas menggunakan peruntukan kerajaan untuk melangsaikan hutang 1MDB dengan International Petroleum Investment Company (IPIC). - Sinar Harian
Najib, Irwan Serigar dan Hasanah didakwa esok
Reviewed by Admin
on
October 24, 2018
Rating:

No comments: