KUALA LUMPUR: Kerajaan hari ini mengumumkan program khidmat luar pengambilan pekerja asing yang sekarang dikendalikan lebih 100 syarikat swasta akan dihentikan dan akan diambil alih sepenuhnya oleh satu agensi khusus bawah Kementerian Sumber Manusia.
Menteri Dalam Negeri Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata perkara itu itu dibincangkan dan diputuskan Jawatankuasa Bersama Pengurusan Pekerja Asing di Parlimen hari ini.
“Program khidmat luar ini dahulu diuruskan bawah Kementerian Dalam Negeri tetapi pada hari ini kita putuskan tugas seperti ini patut diserahkan kepada Agensi Pekerjaan Swasta (APS) bawah Kementerian Sumber Manusia.
“APS mempunyai akta khas bagi memastikan pengambilan pekerja asing lebih terurus dan mengikut peraturan dan undang-undang sedia ada,” katanya pada sidang media.
Muhyiddin berkata penyusunan semula itu bagi menangani masalah pemerdagangan manusia dan layanan tidak adil terhadap pekerja asing oleh pihak majikan.
“Buat masa ini nasib syarikat dan ejen-ejen belum ditentukan lagi dan dalam perbincangan,” katanya, dan menambah kerajaan akan memberikan tempoh kepada syarikat-syarikat terkesan untuk menempatkan pekerja asing bawah tanggungan mereka.
“Ini mungkin akan mengambil sedikit masa dan selepas itu ia akan diserahkan kepada pihak Kementerian Sumber Manusia,” katanya.
Persekutuan Majikan Malaysia (MEF) sebelum ini dilapor menggesa kerajaan memansuhkan sistem ejen pekerja asing bagi menangani isu penindasan pekerja dan perhambaan moden, membanteras isu penipuan termasuk pemalsuan dokumen, dan untuk mengurangkan kos.
Sementara itu pada sidang media yang sama, Menteri Sumber Manusia M Kulasegaran berkata kerajaan akan melaksanakan sistem levi pelbagai peringkat seperti yang dilaksanakan di Singapura.
Sistem itu akan dikuatkuasakan selewat-lewatnya tahun depan.
“Levi akan ditetapkan berdasarkan nisbah antara jumlah pekerja tempatan yang bekerja di sesuatu syarikat itu dengan jumlah pekerja asing yang mahu digajikan.
“Levi yang dikenakan sekarang sebagai contoh RM640 untuk industri pertanian akan dijadikan sebagai peringkat pertama, dan ia akan dinaikkan berdasarkan peningkatan jumlah pekerja asing yang mahu digajikan,” katanya.
Ketua Setiausaha Kementerian Sumber Manusia Datuk Amir Omar sebelum ini dilapor berkata makin ramai pekerja asing yang digajikan makin tinggi levi dikenakan dalam sistem baharu itu. - FMT
Muhyiddin: Khidmat luar pengambilan pekerja asing akan ditamatkan
Reviewed by Admin
on
October 24, 2018
Rating:

No comments: