Seo Services

Bayaran PTPTN: ABIM tetap mahu k'jaan tunai janji manifesto


Kos sara hidup dan dasar gaji minimum yang masih rendah perlu diambil kira sebelum kerajaan melaksanakan sistem potongan gaji bagi peminjam Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) yang mempunyai gaji lebih RM1,000 sebulan.

Setiausaha Agung Angkatan Belia Islam Malaysia (ABIM), Muhammad Faisal Abdul Aziz berkata kerajaan perlu menangani isu itu secara cermat dan berhikmah, selaras dengan dasar mereformasikan institusi dalam era Malaysia Baru.

"ABIM berpandangan bahawa polisi ini adalah membebankan anak muda yang mahu memulakan kehidupan mereka pasca bergelar graduan.

"Memandangkan gaji minimum yang berkuatkuasa pada 1 Januari 2019 masih jauh daripada yang disarankan oleh Majlis Perunding Gaji Negara (MPGN) iaitu RM1500, ABIM menggesa agar soal kemiskinan bandar serta komitmen tinggi yang dihadapi anak muda dalam keadaan ekonomi yang tidak menentu serta kos sara hidup yang meningkat, diambil kira dalam menentukan kaedah pembayaran semula hutang PTPTN.

"Soal peningkatan jumlah golongan muda yang bankrap dan muflis juga perlu diberi perhatian serius," katanya dalam satu kenyataan.

Sehubungan itu, Muhammad Faisal menggesa kerajaan menunaikan janji dalam manifesto mereka yang menyatakan tempoh bayaran balik kepada peminjam dilanjutkan sehingga mencapai pendapatan bulanan RM4,000 sebulan.

"Bagi menggalakkan pembayaran hutang, ABIM menggesa pihak kerajaan untuk menghapuskan sistem ujrah PTPTN, memandangkan ia dilihat menjadi beban hutang tambahan kepada para peminjam, di mana boleh mencecah ribuan ringgit," tambahnya.

Sebelum ini pengumuman Belanjawan 2019 berhubung pemotongan gaji bulanan sebanyak dua hingga 15 peratus terhadap peminjam berpendapatan RM1,000 ke atas menimbulkan kritikan banyak pihak.

Sehubungan itu Anggota Parlimen Kuala Selangor, Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad berkata, kerajaan akan meneliti semula percanggahan di antara janji dirangka dalam manifesto serta dasar terkini berhubung bayaran balik pinjaman tersebut.


Dzulkefly antara individu yang terlibat dalam merangka manifesto berkenaan sebelum pilihan raya umum lalu.

Mengulas lanjut, Muhammad Faisal berkata kerajaan boleh menyerap kos tertentu ditanggung mahasiswa di universiti dan kolej kediaman sebagai langkah mengurangkan beban peminjam PTPTN.

"Subsidi makanan dan lain-lain akan membolehkan kos makan dan sara hidup golongan mahasiswa di kampus tidak tinggi, lalu tidak memerlukan pembiayaan yang tinggi.

"Selagi pihak kerajaan masih belum menyediakan peluang pekerjaan yang lebih banyak, gaji permulaan yang lebih baik dan masih belum mengenalpasti masalah sebenar para peminjam, pihak Kerajaan khususnya PTPTN tidak seharusnya secara mudah menghukum secara pukul rata terhadap semua peminjam," katanya. - Malaysiakini
Bayaran PTPTN: ABIM tetap mahu k'jaan tunai janji manifesto Bayaran PTPTN: ABIM tetap mahu k'jaan tunai janji manifesto Reviewed by Admin on November 06, 2018 Rating: 5

No comments:

ads 728x90 B
Powered by Blogger.