![]() |
Foto: Utusan Borneo |
KUCHING: Kerajaan Sarawak serius ketika mengumumkan pelaksanaan cukai jualan sebanyak lima peratus ke atas produk petroleum, kata pemerhati politik Datuk Peter Minos (gambar).
"Daripada hasil pendapatan keseluruhan sebanyak RM10.51 bilion bagi 2019, RM3.98 bilion dijangkakan daripada pelaksanaan cukai jualan sebanyak lima peratus ke atas produk petroleum," katanya.
Dengan pembentangan Belanjawan Negeri 2019 oleh Ketua Menteri Sarawak Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg semalam di Sidang Dewan Undangan Negeri (DUN), Minos berkata beliau berharap syarikat korporat petroleum negara Petronas akan dimaklumkan sewajarnya mengenai perkara itu.
"Sarawak akan mengenakan cukai jualan lima peratus seperti yang diperuntukkan di bawah undang-undang dan Perlembagaan Persekutuan," kata Minos.
Minos menambah, Sarawak sudah berulang kali meminta bahagian yang lebih daripada Petronas dan kerajaan persekutuan tetapi mereka menyulitkan lagi keadaan.
"Bayar sahaja kepada Sarawak dan perkara ini akan selesai," ujarnya.
Beliau berkata Petronas hanya perlu bersedia untuk membayar cukai berkenaan.
"Lagipun, Petronas membayar dividen khas RM30 bilion kepada kerajaan persekutuan dan ia dibuat begitu sahaja. Tidak ada kekecohan. Tidak ada masalah. Tetapi apabila disuruh membayar lebih satu ringgit kepada Sarawak, Petronas main tunggu-tunggu dan bertangguh-tangguh," kata Minos.
Minos berkata belanjawan kerajaan negeri mahu berbelanja menurut kemampuannya dan ini bermakna kerajaan Sarawak mungkin tidak mahu membelanjakan rizab sebanyak RM31 bilion yang dipegangnya sekarang.
"Kita tidak mahu mengganggu rizab baik kita sebanyak RM31 bilion. Simpan untuk masa susah bagi kestabilan kewangan," tambahnya.
Minos menyifatkan belanjawan itu sebagai luar biasa kerana ia menyediakan peruntukan terbesar yang pernah diumumkan setakat ini di DUN.
"Syabas kepada YAB Ketua Menteri dan semua mereka yang telah menyediakan belanjawan itu di atas idea dan cadangan mereka yang berani dan baik. Ia umpama berfikir di luar kotak," katanya.
Pada 2019, Sarawak akan membelanjakan RM10.39 bilion dan hasil pendapatan yang dijangkakan adalah RM10.51 bilion untuk memberi lebihan sebanyak RM122 juta.
"Tiada defisit. Ini sangat bagus untuk mana-mana belanjawan. Berbelanja mana yang perlu sahaja. Prinsip kewangan yang bijak," katanya. - UTUSAN BORNEO
Sarawak serius laksana cukai 5% ke atas produk petroleum
Reviewed by Admin
on
November 06, 2018
Rating:

No comments: