PETRA JAYA - Parti Pesaka Bumiputera Bersatu Sarawak (PBB) menyifatkan kenyataan pimpinan DAP bersifat dendam kerana negeri itu pernah menyokong BN.
Timbalan Ketua Pemudanya, Fazzrudin Abdul Rahman berkata kerajaan tidak adil melalui peruntukan untuk Bumi Kenyalang itu dalam Belanjawan 2019 selepas mengambil begitu banyak hasil bumi di Sarawak.
"Kenyataan Anthony Loke mengatakan kami rakyat Sarawak tidak sedar diri dan menyalahkan GPS (Gabungan Parti Sarawak) atas peruntukan yang kecil untuk Sarawak menggambarkan keputusan kerajaan PH seolah-olah dilaksanakan dengan dendam kerana pernah menyokong BN.
"Seluruh rakyat Sarawak kecewa dengan peruntukan yang begitu kecil untuk pembangunan. Ini menunjukkan dengan jelas pendirian kerajaan pusat terhadap Sarawak. Hasil bumi yang begitu banyak diambil daripada kami dan pembahagian yang tidak adil," katanya dalam satu kenyataan, semalam.
Semalam, Athony yang merupakan Setiausaha Organisasi Kebangsaan DAP dilaporkan berkata Sarawak di bawah pimpinan GPS perlu sedar diri dan jangan terlalu hebat mengkritik peruntukan RM4.35 bilion dalam Belanjawan 2019.
Anthony berkata disebabkan Sarawak penyokong kuat kerajaan BN yang korup, negara terpaksa menanggung banyak hutang melebihi RM1 trilion.
"Walau berdepan hutang tinggi, kerajaan masih tunjuk komitmen kekalkan peruntukan sama diterima dengan tambahan RM10 juta kepada Sarawak.
"Namun saya mahu ingatkan kepada pihak yang suka mengkritik tambahan RM10 juta itu kerana mereka (kerajaan negeri) juga adalah sebahagian penyebab kerosakan kepada negara ini kerana menyokong Perdana Menteri yang korup," katanya lapor Berita Harian ketika menghadiri Konvensyen DAP Sarawak ke-18 di Crown Square, semalam.
Dalam pada itu, Fazzrudin yang juga Adun Tupong berkata, peruntukan disalurkan sepatutnya sesuai dengan hasil yang diambil kerajaan pusat.
"Saya ingin berpesan kepada Anthony, jika anda ikhlas mahu membangunkan Sarawak maka peratusan peruntukan yang disalurkan haruslah memadai dan setara dengan hasil yang telah dikeluarkan dari isi perut bumi Sarawak.
"Pemimpin seperti Anthony ini bersikap dendam, biadap dan meminggir Sarawak menguatkan lagi semangat rakyat Sarawak untuk memastikan negeri ini terbela serta sama sekali tidak dikawal orang luar," katanya. - Sinar Harian
Minta Sarawak Sedar Diri, Kenyataan Anthony berbaur dendam
Reviewed by Admin
on
November 05, 2018
Rating:
No comments: