KOTA BHARU 5 Nov. - Kongres Kesatuan Pekerja-Pekerja Di Dalam Perkhidmatan Awam (Cuepacs) memohon kerajaan mempertimbangkan elaun risiko berjumlah RM200 untuk kira-kira 14,000 anggota Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM).
Presidennya Datuk Azih Muda berkata perkara itu sudah lama dibincangkan oleh kerajaan dan sudah tiba masanya untuk ia dilaksanakan bagi menghargai jasa dan pengorbanan dilakukan anggota agensi penyelamat tersebut yang bergadai nyawa ketika menjalankan operasi.
"Cuepacs berharap agar kerajaan dapat memberi pertimbangan segera untuk membayar elaun risiko kepada anggota bomba kerana mereka bertugas siang dan malam.
"Mereka berkhidmat tanpa kompromi untuk membantu orang ramai, dan dalam masa yang sama, elaun tersebut akan kembali dibelanjakan sekaligus dapat mengembangkan ekonomi," katanya kepada pemberita selepas mengadakan mesyuarat bersama Cuepacs Kelantan di sini, hari ini. Turut hadir Pengerusi Cuepacs Kelantan Aminuddin Awang.
Azih berkata Cuepacs turut berharap agar kerajaan mempertimbangkan untuk menyediakan insurans ke atas kenderaan jabatan bagi mengelakkan pemandu terpaksa menanggung kos baik pulih kenderaan jika terbabit kemalangan.
"Contohnya seperti ambulans. Kalau berlaku kemalangan terhadap kenderaan tersebut pemandu yang kena bayar kos untuk baik pulih.
"Ini membebankan pemandu, sudahlah mereka membawa pesakit tapi jika berlaku kemalangan, mereka pula yang terpaksa menanggung kos baik pulih," katanya.
Dalam perkembangan lain, Azih mengucapkan terima kasih kepada kerajaan yang memberi bantuan khas RM500 kepada penjawat awam yang akan dibayar sebelum akhir tahun ini.
Katanya ini akan membantu penjawat awam membuat persediaan untuk anak-anak mereka kembali ke sekolah pada penggal akan datang. - BERNAMA
CUEPACS mohon kerajaan pertimbang elaun risiko untuk anggota Bomba
Reviewed by Admin
on
November 05, 2018
Rating:

No comments: